Buletin

KEUNTUNGAN TOYOTA SUSUT 42%, PENGANALISIS TERKEJUT

Toyota mengejutkan para penganalisis selepas mengumumkan bahawa keuntungannya telah jatuh sebanyak 42 peratus pada suku pertama tahun ini yang berakhir pada 30 Jun lalu.

Penganalisis menjangkakan  keuntungan jatuh, tetapi meramalkan ia hanya menyusut sebanyak 15 peratus sahaja. Pengumuman itu kemudian menyebabkan harga saham Toyota jatuh sebanyak tiga peratus, lapor Reuters.

Pembuat kereta Jepun itu hanya memperoleh 578.66 bilion yen (RM1.94 trilion), berbanding 997.4 bilion yen (RM 3.34 trilion) dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pembuat kereta itu dilanda beberapa isu pengeluaran yang menyebabkan ia tidak dapat menghasilkan jumlah kenderaan seperti yang diharapkan. Toyota mengumumkan tiga kali dalam tiga bulan pertama tahun kewangannya bahawa ia akan mengurangkan pengeluaran. Ini menjadi antara punca pengeluarannya jatuh sebanyak 10 peratus pada suku pertama akibat isu rantaian bekalan yang menghadkan akses kepada cip semikonduktor.

Toyota bernasib baik kerana sekatan COVID-19 telah ditarik balik di China dan isu kakitangan di kilang domestiknya dijangka dapat diselesaikan. Toyota juga percaya pengeluaran akan kembali meningkat pada separuh kedua tahun ini.

Seperti seluruh dunia, Toyota perlu mencari jalan untuk mengurangkan impak inflasi. Pembuat kereta itu menjangkakan kos bahan telah meningkat sebanyak 17 peratus daripada anggaran sebelumnya, kepada 1.7 trilion yen (RM5.66 trilion).

Walaupun begitu, Toyota masih  berhasrat untuk mengeluarkan 9.7 juta kenderaan pada tahun fiskal ini dan menjangkakan jualan yang kukuh memandangkan permintaan tinggi untuk kenderaan baharu.

Google ads
Back to top button