
FIAT STRADA, RAM 700 DAPAT SKOR SATU BINTANG LATIN NCAP
Trak pikap unibodi segmen B Fiat Strada dan kembarnya RAM 700 masing-masing ditawarkan untuk pasaran Amerika Latin.
Dalam ujian pelanggaran kenderaan baharu oleh Latin NCAP, kedua-dua trak pikap tersebut sekadar meraih skor satu bintang sahaja, baik untuk versi kabin tunggal ataupun kabin berkembar.

Menurut laporan Latin NCAP, kerangka badan (Fiat Strada & RAM 700) didapati tidak stabil dan tidak mampu untuk menampung beban yang berat.
Dalam pelanggaran impak sisi 50 km/j, kedua-dua model tersebut didapati terpelanting sebelum mendarat atas dua roda, sementara model kabin tunggal hampir-hampir tergolek.

Selain daripada itu, terdapat perbezaan ketara untuk perlindungan whiplash, malah beg udara sisi yang standard untuk model double-cab tidak meletus dengan baik dalam ujian impak pelanggaran tiang.
Data daripada penderia juga menunjukkan tahap perlindungan yang tidak begitu baik kepada kepala dan juga dada patung ujian.
Lebih menyedihkan apabila trak-trak tersebut tidak dilengkapi dengan ciri seperti brek kecemasan autonomi, sokongan lorong serta sistem pengesanan titik buta. – Latin NCAP








