Buletin

NISSAN PERKENAL TRAK PIKAP FRONTIER PRO PHEV DI CHINA. HARGA BERMULA RM102K SAHAJA 

Nissan baru-baru ini memperkenalkan model pikap elektrik hibrid terbarunya, Frontier Pro PHEV di pasaran China pada harga permulaan sekitar ¥156,900 (RM102,000).

Model yang turut dikenali sebagai Z9 GE PHEV itu merupakan hasil kerjasama di antara Nissan dan Dongfeng melalui usaha sama Zhengzhou Nissan.

Frontier Pro PHEV menampilkan reka bentuk moden dengan lampu LED berbentuk ‘Z’ di bahagian hadapan dan belakang, manakala gril heksagon memberikan penampilan agresif. 

Dilengkapi enjin petrol 1.5L turbo dan motor elektrik, trak pikap itu berupaya menjana kuasa gabungan 300kW (402hp) dan tork 800Nm, selain membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 135km mengikut kitaran CLTC.  

Di bahagian dalaman, Frontier Pro PHEV menawarkan kabin lima tempat duduk dengan pelbagai ciri moden. Varian asas hadir dengan skrin infotainmen 12.8 inci dan kluster instrumen digital 10.25 inci. 

Varian lebih tinggi dilengkapi skrin sentuh bersaiz 14.6 inci, tempat duduk kulit Nappa dengan fungsi pemanas/sejuk dan urutan, selain sistem audio bersama 12 unit pembesar suara.

Teknologi keselamatan pula terdiri daripada empat radar ultrasonik, kamera berdefinisi tinggi dan sistem bantuan pemandu Tahap 2.

Dengan harga permulaan hanya RM102,000, Frontier Pro PHEV menawarkan nilai yang sukar ditandingi dalam segmen pikap elektrik hibrid.

Nissan merancang untuk melancarkan model tersebut di pasaran China menjelang akhir 2025 sebelum mengeksport ke pasaran lain. Senarai negara yang bakal menerima Z9 GE PHEV bagaimanapun masih belum diumumkan secara rasmi.  

Model itu membuktikan komitmen Nissan dalam menyediakan kenderaan elektrik hibrid pada harga berpatutan dan berprestasi tinggi, sesuai untuk pengguna yang mencari gabungan antara kecekapan bahan api dan kuasa. 

GALERI

Google ads
Back to top button