Buletin

TRAK PIKAP TRITON GENERASI BARU MUNCUL 26 JULAI INI

Berita baik buat para peminat trak pikap, ini kerana Mitsubishi secara rasminya mengumumkan kemunculan generasi baharu model Triton pada 26 Julai nanti di peringkat global.

Turut diperlihatkan imej teaser yang memaparkan sebahagian daripada rekaan yang bakal menjadikan trak pikap Triton ini lebih gagah dan moden.

Tidak seperti model terdahulu yang menampilkan bahasa rekaan Dynamic Shield, Mitsubishi membawakan pendekatan yang lebih agresif.

Selain daripada jeriji depan yang agak besar, unit lampu utama membawakan elemen tiga dimensi, diikuti dengan jalur LED DRL pada bahagian atas lampu itu tadi.

Tema grafik berbentuk T juga boleh didapati pada bahagian lampu belakang, sementara profil sisi pula nyata nampak lebih garang, sesuai dengan konsep rekaan Beast Mode yang disebut oleh Mitsubishi.

Untuk ruang kabin pula, susun atur papan pemuka telah dimodenkan dengan kehadiran skrin tengah jenis terapung, skrin kluster digital, serta tombol penukaran mod pacuan 4WD dan butang pilihan mod pemanduan.

Setakat ini, Mitsubishi masih lagi belum bersedia mendedahkan perincian trak pikap saiz pertengahan yang bakal menjadi seteru kepada model Ranger, Hilux dan juga D-Max.

Namun begitu, terdapat laporan yang menyebut Triton baharu ini akan berkongsi casis yang sama dengan rakan sepakatannya Nissan Navara.

Google ads
Back to top button