Buletin

FORD GT CARBON – APABILA KERETA LAJU JADI LEBIH RINGAN (DAN CANTIK)

Baru-baru ini McLaren mendedahkan kereta hiper Speedtail yang dah habis pun dibeli. McLaren agak aktif mengeluarkan pelbagai varian dan edisi khas. Sebelum Speedtail, McLaren berjaya menarik perhatian ramai melalui model istimewa Senna.

Dalam pelbagai berita meriah tentang McLaren, Lamborghini atau pengeluar kereta berprestasi lain, Ford kekal tenang melalui kereta super GT.

Ini bukan tentang model massa seperti Fiesta atau Focus, ini adalah tentang model luar biasa GT yang merupakan model Ford paling laju.

Bagi menawarkan sesuatu yang lebih istimewa kepada pelanggan, Ford menawarkan edisi baharu GT Carbon Series. Ini adalah kereta super paling ringan Ford hasilkan dan ia terus boleh digunakan ke litar lumba.

Mahu dipandu di atas jalan raya pun tiada masalah cuma iman nak kena tebal supaya tidak rasa bangga diri.

Model edisi terhad ini mengalami diet berkesan apabila 18 kgn berjaya dikurangkan. Di antara komponen ringan yang digunakan ialah roda gentian karbon, ekzos dan nat titanium dan penutup enjin daripapa polikarbonat dengan tambahan liang udara.

Walaupun dalam misi meringankan kereta, Ford masih waras dan mengekalkan penyaman udara dan radio. Cuma beberapa peralatan lain seperti pemegang cawan ditanggalkan. Tiada masalah, ini hal kecil sahaja.

Bahagian luar diriasi grafik lumba (racing stripe) corak gentian karbon yang senada dengan tiang A, bahagian bawah panel badan dan roda gentian karbon.

Tema gentian karbon diteruskan pada bahagian dalaman seperti pelapik pintu dan konsol tengah. Kerusi model Carbon Series pula istimewa melalui corak unik dengan sulaman berwarna perak dan diulang pada stereng. Pada panel instrumen dilekapkan logo identiti khas.

Untuk warna pula, pelanggan boleh memilih di antara empat warna riasan iaitu perak, jingga, merah atau biru untuk cermin sisi, grafik tengah dan angkup brek.

Ford GT dipacu oleh enjin 3.5 liter V6 turbo berkembar EcoBoost berkuasa 647 hp dengan tork 746 Nm.

Jika berhajat untuk memilikinya bukan mudah, pelanggan perlu memohon melalui laman web. Jika berjaya baru boleh memesan model khas ini.

Maklumlah, Ford merancang untuk memasang sebuah model istimewa setiap minggu. Sebulan ada empat minggu… hmmm.

BACA: MAHU BELI FORD GT? TIADA MASALAH CUMA KENA TUNGGU 2 TAHUN

BACA: FORD MUSTANG – KERETA SPORTS COUPE TERLARIS DUNIA!

Tags
Google ads
Back to top button