
TAK MAHU TERPALIT SKANDAL GM, FORD JANJI LINDUNGI DATA PEMILIK
Ford mengumumkan inisiatif baharu dikenali sebagai Privacy Promise bagi memperkukuh perlindungan maklumat peribadi pelanggan, khususnya data yang dikumpulkan menerusi kenderaan bersambung dan aplikasi digital syarikat itu.
Pengumuman berkenaan dibuat beberapa hari selepas General Motors (GM) bersetuju menyelesaikan tuntutan undang-undang berkaitan dakwaan penjualan data pemanduan pelanggan tanpa kebenaran mereka.
Menerusi penyelesaian tersebut, GM bersetuju membayar AS$220 juta (kira-kira RM950 juta) kepada 36 negeri di Amerika Syarikat (AS).
Langkah Ford itu dilihat sebagai usaha meningkatkan keyakinan pengguna terhadap pengurusan data kenderaan, terutama ketika teknologi kenderaan bersambung semakin meluas digunakan dalam industri automotif.
Menurut Ford, Privacy Promise merupakan komitmen jelas syarikat untuk memastikan data kenderaan pelanggan dilindungi, selain memberikan mereka kawalan terhadap maklumat yang ingin dikongsikan.
Bagi menyokong inisiatif tersebut, Ford turut melancarkan laman web khas yang menerangkan amalan pengumpulan dan penggunaan data, termasuk panduan mengubah tetapan privasi menerusi kenderaan, laman web rasmi serta aplikasi Ford.
Ford menjelaskan bahawa perlindungan privasi menjadi keutamaan sejak peringkat pembangunan produk, termasuk proses pengumpulan, penggunaan, penyimpanan dan pelupusan data.
Syarikat itu juga menggunakan kaedah tertentu seperti penyamaran identiti (anonymisation) dan pengumpulan data secara agregat bagi mengurangkan risiko pendedahan maklumat peribadi pelanggan.
Selain itu, Ford berjanji untuk menyediakan penerangan yang lebih jelas mengenai cara maklumat pengguna dikendalikan supaya pelanggan dapat membuat keputusan berdasarkan pilihan privasi masing-masing.
Pengeluar automotif itu turut menegaskan bahawa pelanggan mempunyai pilihan untuk menentukan jenis data kenderaan yang ingin dikongsikan, tertakluk kepada ciri dan perkhidmatan yang digunakan.
Ford juga menegaskan bahawa pihaknya tidak menjual data berkaitan cara pelanggan memandu kenderaan mereka kepada broker data.
Bagaimanapun, pelaksanaan Privacy Promise ini masih memerlukan pemilik kenderaan meneliti beberapa tetapan secara berasingan.
Laman web baharu Ford tidak menyediakan satu butang khas untuk mengaktifkan atau menyahaktifkan semua fungsi pengumpulan dan perkongsian data secara serentak.
Sebaliknya, pengguna perlu mengikuti panduan yang disediakan untuk menguruskan setiap kategori tetapan, sama ada menerusi aplikasi atau sistem dalam kenderaan.
Langkah ini memberikan pilihan lebih jelas kepada pelanggan, namun pemilik kenderaan perlu meluangkan masa memahami tetapan yang tersedia bagi memastikan maklumat peribadi mereka dikendalikan mengikut kehendak masing-masing.








