Artikel Pilihan

FORD JANGKA PENGELUAR CHINA TEMBUS PASARAN AS DALAM 5-10 TAHUN

Pengeluar automotif China mungkin belum mempunyai kehadiran besar di Amerika Syarikat ketika ini, tetapi Ford percaya keadaan itu tidak akan kekal selama-lamanya. CEO Ford, Jim Farley dilaporkan memberitahu pekerjanya bahawa pengeluar automotif China berkemungkinan memasuki pasaran Amerika Syarikat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Menurut laporan Reuters yang dipetik Carscoops, Ford menjangkakan kemasukan mungkin berlaku lebih awal dan Ford tidak mahu menunggu sehingga pesaing dari China benar-benar tiba sebelum mengambil tindakan. Ketika ini, terdapat beberapa halangan besar yang menyukarkan pengeluar China menjual kenderaan mereka di Amerika Syarikat.

Antaranya ialah tarif tinggi yang dikenakan terhadap kenderaan buatan China, selain peraturan berkaitan connected vehicle yang mengehadkan penggunaan perisian dan perkakasan tertentu dari China. Sekatan tersebut menjadikan pasaran Amerika Syarikat jauh lebih sukar ditembusi berbanding banyak pasaran lain.

Namun, Ford sedar perlindungan seperti tarif dan sekatan perdagangan mungkin tidak dapat digunakan selama-lamanya. Pengerusi Eksekutif Ford, Bill Ford sebelum ini turut menyuarakan pandangan bahawa industri automotif Amerika akhirnya perlu bersedia untuk bersaing secara terus dengan pengeluar China.

Dalam erti kata lain, pengeluar Amerika tidak boleh hanya bergantung kepada perlindungan kerajaan. Mereka perlu menghasilkan produk yang mampu bersaing dari segi harga, teknologi, kualiti dan kecekapan pengeluaran. Kebimbangan Ford bukanlah sesuatu yang sukar difahami apabila melihat perkembangan jenama China di pasaran antarabangsa. Di Eropah, pengeluar China kini dilaporkan menyumbang kira-kira satu daripada setiap 10 kenderaan yang dijual.

Perkembangan mereka juga berlaku dengan sangat pantas di United Kingdom. Jaecoo misalnya baru mula mendaftarkan kenderaan di negara itu pada Januari 2025, tetapi hanya 13 bulan kemudian, salah sebuah SUV jenama tersebut berjaya muncul sebagai model paling laris di pasaran berkenaan.

Situasi sama dapat dilihat di Australia apabila BYD Shark berjaya muncul sebagai antara pemain penting dalam segmen trak pikap, pasaran yang secara tradisinya dikuasai jenama seperti Ford dan Toyota. Lebih dekat dengan Amerika Syarikat, pengeluar China juga sudah mempunyai kehadiran kukuh di Mexico.

Kanada pula mula membuka ruang kepada kemasukan sejumlah terhad kenderaan elektrik buatan China, sekali gus memberi peluang kepada pengeluar berkenaan membina tapak di pasaran Amerika Utara. Farley sebelum ini memberi amaran bahawa kemasukan pengeluar China boleh memberi kesan besar terhadap sektor pembuatan automotif Amerika.

Salah satu sebabnya ialah kapasiti pengeluaran China yang sangat besar. Farley mendakwa negara itu mempunyai lebihan kapasiti pengeluaran sekitar 21 juta kenderaan setahun, selain kira-kira 29 juta kenderaan yang dijangka dihasilkan pada 2026.

Ford kini sedang cuba memperkukuhkan kedudukannya sebelum persaingan tersebut sampai ke halaman sendiri. Antara strategi yang sedang dibangunkan ialah keluarga kenderaan elektrik mampu milik dengan pendekatan kejuruteraan dan proses pengeluaran baharu yang direka untuk mengurangkan kos.

Salah satu produk pertama daripada program tersebut dijangka berupa trak pikap elektrik dengan harga sekitar AS$30,000 (kira-kira RM121,000), yang dirancang diperkenalkan pada 2027. Ford turut bekerjasama dengan Geely di Eropah, sebuah pasaran di mana pengeluar automotif tradisional sudah berdepan persaingan sengit daripada jenama China.

Jika ramalan Ford tepat, Detroit mempunyai sekitar satu dekad atau mungkin kurang daripada itu untuk bersedia menghadapi persaingan secara langsung.

Google ads
Back to top button