
LAMBORGHINI AVVENTURA – KONVOI URUS KE ICELAND (HARAP AJAK KAMI NANTI)
Ada kereta bagus tetapi tersimpan dalam garaj atau bawah bumbung. Ini masalah biasa bagi pemilik kereta super. Biasanya disebabkan kesibukan pemilik dengan urusan harian.
Bukan tidak memandu tetapi pemilik yang hartawan begini mempunyai kereta lain untuk kegunaan harian. Jadi tidak hairan apabila kereta super mempunyai perbatuan yang rendah walaupun sudah bertahun dibeli.
Pengeluar dan pengedar yang proaktif pula mempunyai program pemanduan buat pelanggannya. Ini supaya pemilik mengenali dan memahami prestasi kereta mereka dengan lebih dekat.Paling tidak pun ahli kelab menganjurkan program pemanduan hari Ahad untuk menuju ke mana-mana destinasi menarik. Syukurlah dapat juga kereta merasai panas dan hujan dan tidak sekadar dipanaskan enjin sahaja.
Pengeluar kereta super dari Itali ini mempunyai program pemanduan menarik dikenali Lamborghini Avventura.
Ini bukan sesi pemanduan biasa-biasa, ia adalah siri ekspedisi bagi meneroka lokasi dan jalan raya paling menarik di dunia. Di antara program pemanduan yang telah dibuat ialah Andalusia, Transylvania dan Norway.
Ke manakah destinasi terbaru Lamborghini Avventura?
Iceland, satu destinasi yang popular di kalangan rakyat Malaysia kebelakangan ini.
Lamborghini menggunakan SUV Urus untuk program ini dan ia kenderaan yang sesuai untuk meneroka pelbagai jenis muka bumi Iceland.
Sebanyak tujuh buah Urus yang menyertai kembara ini sepanjang dua hari dengan jarak 900 km. Kembara ke Iceland melalui pelbagai keadaan cuaca dari panas kepada berangin, hujan dan salji.
Kembara bermula dari Reykjanes iaitu tempat pelancongan popular Blue Lagoon kemudian ke Krysuvikurberg seterusnya pantai pasir hitam Reynisfjara dan selepas itu ke Dyrhólaey.Urus bukan sekadar SUV acah-acah yang menjual rupa dan nama sahaja. SUV ini dilengkapi mode Terra untuk dipandu di atas jalan off-road. Pemanduan ini dibuktikan melalui permukaan di Hjörleifshöfði hingga ke kawasan pantai atau di atas glasier hitam di Kötlujökull.
Penggembaraan diteruskan ke kawasan lava yang ditutupi rumai di gunung berapi Laki dan beberapa permukaan mencabar lain seperti lagun aisberg di Fjallsárlón dan ke lagun glasier Jökulsárlón dengan persekitaran aisberg dan anjing laut.
Selepas melalui segala macam lokasi yang menarik ini, kembara pulang semula ke bandar Reykjavik. Kereta bagus, lokasi menarik dan pengalaman mengujakan.
PS: Harap Lamborghini Malaysia dapat anjurkan program ini dan menjemput kami. Fuh.
BACA: ESPADA & ISLERO – 2 MODEL KLASIK LAMBORGHINI BERUSIA SETENGAH ABAD
BACA: LAMBORGHINI URUS, SUPER SUV 1-100 KM/J DALAM MASA 3.6 SAAT!