Buletin

FORD LANCAR RANGER RAPTOR DI THAILAND – 210hp & 500Nm!

Ford Thailand akhirnya melancarkan trak pikap yang amat ditunggu-tunggu, Ranger Raptor dalam satu majlis khas di Bangkok.

Jika ada yang bertanya kenapa Thailand, harus tahu bahawa negara gajah putih itu sudah lama menjadi hab pengeluaran utama Ranger di dunia. Kilang yang sama di Rayong itu juga dilapor akan menghasilkan Ranger Raptor untuk Thailand dan pasaran Asia Pasifik. 

Ranger Raptor dikuasakan oleh enjin diesel dengan sistem pengecas turbo berkembar sebaris bersesaran 2.0 liter. Mampu menjana kuasa mencecah 201hp dan tork 500Nm, ia kemudian dipadankan dengan kotak gear 10 kelajuan automatik.

Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menerusi sistem pacuan empat roda. Ia turut memanfaatkan enam mode pemanduan yang ada pada F150 Raptor, termasuklah mode Baja Sand Racing.

Sekali pandang, trak pikap ini sangatlah garang dengan gril berwarna hitam, fender lebar, tayar BF Goodrich yang tebal.

Keupayaannya mengharung apa jua jenis permukaan jalan diserlahkan menerusi penggunaan suspensi belakang Watts Link dan peredam Fox Racing. Jentera itu juga mempunyai jarak kelegaan tanah yang ditinggikan sebanyak 11 inci berbanding Ranger biasa.

Ruang kabin Ranger Raptor kelihatan cukup sporty dan kemas. Dimonopoli oleh warna merah dan perak, bahagian tengah papan pemuka dihuni oleh skrin sentuh bersaiz lapan inci. Ia juga dilengkapi sistem infotainmen SYNC 3. 

Pembangunan produk ini dilakukan di Australia di mana mereka juga bertanggungjawab ke atas penghasilan platform T6 yang digunakan oleh keluarga kenderaan Ranger. Reka bentuk badan di atas kerangka itu jua akan diaplikasikan ke atas model Bronco yang dijangka menjengah pasaran Amerika Syarikat tahun depan.

Ranger Raptor didatangkan dalam lima warna iaitu biru, merah, hitam, putih dan kelabu. Masih belum dapat dipastikan sama ada model ini akan masuk ke Malaysia atau sebaliknya.

Tak salah berangan kan…

GALERI

Google ads
Back to top button