Motosikal

RASMI: YAMAHA TENERE 700 BAHARU LANCAR DI MALAYSIA – RM58,998

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan rasminya melancarkan Yamaha Tenere 700 terbaru untuk pasaran Malaysia yang bukan sahaja hadir dengan ciri dipertingkat malah dengan harga yang lebih kompetitif. 

Model 2026 itu kini ditawarkan pada harga RM58,998 sekaligus menunjukkan penurunan RM10,000 berbanding RM69,988 dua tahun lalu. 

Antara penambahbaikan terbesar yang ditawarkan termasuk suspensi boleh laras sepenuhnya (rebound dan compression), panel badan baharu, meter TFT baharu, penghadang angin baharu, lampu LED hadapan baharu, serta tempat pemijak baharu. 

Bagaimanapun, naik taraf terbesar adalah sistem ride-by-wire (YCC-T) sekaligus menyaksikan Tenere 700 ini menawarkan dua mod menunggang, Explore dan Sport. ABS dan traction control (TC) juga boleh dipadamkan mengikut tetapan pengguna. 

Pemilihan mod, ABS dan TC boleh dibuat menggunakan butang switchgear baharu yang memudahkan penunggang membuat tetapan atau pemilihan dalam keadaan bergerak. Juga terdapat butang khas untuk pemilihan mod menunggang. 

Menariknya, meter TFT 6.3-inci baharu ini juga kini dilengkapi dengan sistem navigasi turn-by-turn yang boleh diakses menerusi aplikasi Y-Connect. 

Sementara itu, ketinggian tempat duduk kekal dengan 875mm seperti model sebelumnya termasuk tangki 16L dan berat (basah) 208kg. 

Dalam pada itu, Tenere 700 baharu ini kekal menawarkan 73hp pada 9,000rpm dan 68Nm pada 6,500rpm yang terhasil dari unit dua silinder CP2 689cc DOHC. 

Yamaha Tenere 700 ini bergerak menggunakan rim 21-inci depan dan 18-inci belakang, masing-masing dipadankan dengan tayar Pirelli Scorpion Rally STR secara standard. 

GALERI: YAMAHA TENERE 700

Google ads
Back to top button