Buletin

GEELY EX2 BAKAL DIPERKENALKAN DI THAILAND HUJUNG BULAN INI

Geely bakal memperkenalkan secara rasmi model elektrik terbaharu, EX2, di Thailand International Motor Expo hujung bulan ini.

Pelancaran ini bukan sahaja menandakan kemasukan rasmi EX2 ke pasaran Thailand, malah menjadi penampilan global pertama versi pemanduan kanan untuk model tersebut.

Model EX2 sebelum ini pernah ditunjukkan buat kali pertama kepada umum di Bangkok Motor Show pada Mac lalu, dan bakal menyertai EX5 dalam barisan produk elektrik Geely di Thailand.

EX2 merupakan sebuah SUV subkompak elektrik dengan reka bentuk bergaya dan aerodinamik. Ia ditawarkan dalam dua varian; versi Standard Range dengan jarak perjalanan sekitar 310km, serta Extended Range yang mampu mencecah 410km bagi sekali cas penuh.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Thonburi Neustern Co. Ltd., Narong Sritalayon, kejayaan model EX5 yang dilancarkan pada akhir tahun lalu menjadi pendorong utama untuk membawa masuk EX2 ke pasaran Thailand menjelang hujung tahun ini.

Beliau turut menambah bahawa Geely bercadang untuk memperluaskan rangkaian jualan kepada 40 lokasi menjelang akhir tahun, selepas pembukaan pusat utama jenama itu pada awal 2025.

Setakat ini, Geely mempunyai 26 bilik pameran dan pusat servis di seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah Kanan Geely International Corp, Daniel Tong, menyatakan bahawa Thailand dilihat sebagai pasaran kenderaan elektrik paling berpotensi di rantau ASEAN.

Beliau memetik faktor seperti dasar kerajaan yang menyokong industri EV, kemajuan infrastruktur pengecasan, serta kesediaan pengguna menerima inovasi baharu sebagai sebab utama mengapa Thailand berperanan penting sebagai hab serantau kenderaan elektrik Geely.

Google ads
Back to top button