
TOYOTA VIOS HIBRID BUAT PENAMPILAN DI THAILAND – MALAYSIA BAKAL MENYUSUL?
Toyota bakal memperkenalkan Vios (dikenali Yaris Ativ) Hybrid di Thailand pada 21 Ogos 2025, menjadikan ia tambahan terbaharu selepas tiga tahun sedan generasi baharu itu diperkenalkan di negara jiran.
Dari segi penampilan, model hibrid ini tidak banyak berubah. Ia masih mengekalkan gril dengan garisan melintang, lampu utama yang tajam serta lampu siang berbentuk L.
Bahagian belakang turut menampilkan lampu belakang berbentuk segi empat yang disepadukan dengan rekaan bampar kotak, bersama kemasan udara di sisi.

Ruang dalaman juga mengekalkan susun atur sama, namun terdapat beberapa peningkatan. Skrin infotainmen kini lebih besar dan menyokong Android Auto serta Apple CarPlay. Kabin tampil lebih premium dengan kombinasi warna dua tona, tempat duduk kulit bercorak jahitan berlian, serta sistem pencahayaan ambien 64 pilihan warna.
Tumpuan utama terletak pada nadi hibrid 1.5 liter penuh (HEV) yang diambil daripada Toyota Yaris Cross, tetapi ditala khusus untuk Vios.

Ia digabungkan dengan enjin petrol 1.5 liter empat silinder DOHC dan bateri lithium-ion 0.7kWh, menghasilkan kuasa 111hp dan tork 262Nm.
Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi e-CVT automatik, dengan kelajuan maksimum 160 km/j serta kadar penggunaan bahan api sekitar 26.3 km/liter.

Antara ciri lain termasuk sistem butang penghidup enjin, kunci pintar tanpa sentuh, Hill Start Assist Control (HAC), dan Automatic High Beam (AHB).
Dari segi keselamatan, ia dipadankan dengan Toyota Safety Sense yang merangkumi; Pre-Collision System dengan brek automatik, Lane Departure Warning dengan bantuan stereng, Front Departure Alert, Pedal Misoperation Control serta kamera pandangan sekeliling 360 darjah. – Lowyat
- BACA: TESLA PERKENAL MODEL Y L ENAM TEMPAT DUDUK DI CHINA – HARGA BERMULA SEKITAR RM220,000
- BACA: EASTCOAST RALLYING X PISTON PROJECT UNGGULI PODIUM M3 MESKI TAYAR PECAH DI GARISAN PENAMAT DI SEPANG
- BACA: KARAMJIT SINGH MASIH LAGI UNGGUL DI MAM – MALAYSIAN RALLY CHAMPIONSHIP 2025 PUSINGAN KEDUA DI SEPANG
- BACA: KERETA CEPAT WHOOSH: BUMN RUGI LEBIH RM1 BILION







