Buletin

GEELY GALAXY E5 DILANCARKAN DI CHINA – DILENGKAPI FLYME AUTO OLEH MEIZU, JARAK GERAK 530KM, HARGA RM69K

Geely baru sahaja melancarkan SUV elektrik terbarunya iaitu Galaxy E5, tampil dengan penuh gaya dan teknologi terkini.

Model baharu ini menampilkan bateri Aegis short-blade lithium iron phosphate dan sistem infotainmen Flyme Auto oleh Meizu, yang direka untuk memberikan pengalaman pemanduan lebih interaktif.

Model ini ditawarkan pada harga antara AS$15,760 (RM69,891) hingga AS$20,800 (RM92,240).

Sebelum 1 Oktober, pembeli boleh menikmati diskaun sebanyak AS$420 (RM1,862), menjadikan harga permulaan hanya AS$15,300 (RM67,849).

Galaxy E5 akan hadir dalam lapan pilihan warna:

  • Merah
  • Merah jambu
  • Kelabu
  • Hijau
  • Putih
  • Perak
  • Hitam
  • Biru

Dari segi reka bentuk dalaman, Galaxy E5 dilengkapi dengan skrin kawalan terapung, panel instrumen digital, dan paparan head-up (HUD).

Model premium pula menawarkan sehingga 16-pembesar suara, termasuk pembesar suara di tempat letak kepala, serta sistem Flyme Auto yang intuitif seperti telefon pintar.

Ruang dalaman ditawarkan oleh SUV ini mencapai sehingga 4.03 meter persegi dan menampilkan 33 ruang penyimpanan, dikatakan sebagai yang terbaik dalam kelasnya.

SUV ini dikuasakan oleh CPU Dragon Eagle One 7 nm buatan China. Geely juga memperkenalkan teknologi pemegang pintu tersembunyi yang inovatif – dikatakan dapat berfungsi dengan baik walaupun dalam keadaan ekstrem.

Bercakap mengenai dimensi, Galaxy E5 mempunyai panjang 4,615mm, lebar 1,901mm, dan tinggi 1,670mm, dengan jarak antara roda 2,750mm.

Dibina di atas seni bina GEA baharu yang berasal dari platform SEA, ia menggunakan teknologi integrasi bateri CTB (cell-to-body) untuk mencapai nisbah beban gandar depan-belakang 50:50.

Geely Galaxy E5 baharu dikuasakan oleh motor elektrik dengan output maksimum 160kW dan 320Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/h dicapai dalam masa 6.9 saat.

Kenderaan ini menawarkan dua konfigurasi bateri, iaitu 49.52kWh dan 60.22kWh, dengan jarak gerak masing-masing sejauh 440km dan 530km.

Galaxy E5 turut dilengkapi dengan sistem pemanduan pintar Galaxy 11-in-1 dari Geely, yang menggabungkan komponen utama ke dalam unit kompak seberat 79.8kg dan berukuran 72 liter.

Perkembangan berkaitan, pada awal 2025, model lain dari rangkaian Geely Galaxy, L7, dan L6, akan menerima kemas kini sistem Flyme Auto oleh Meizu melalui OTA (over-the-air).

Google ads
Back to top button