
GEELY PERKENALKAN VARIAN BAHARU GALAXY E5 – TAWAR JARAK GERAK SEHINGGA 610KM
Geely memperkenalkan satu lagi varian baharu bagi SUV elektrik kompak Galaxy E5 (juga dikenali sebagai EX5) yang kini mampu menawarkan jarak pemanduan elektrik sejauh 610km mengikut piawaian CLTC.
Perkara ini didedahkan melalui dokumen terkini yang difailkan kepada Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT), menandakan penambahan signifikan terhadap model sedia ada.
Dari segi rekaan luaran, varian baharu ini mengekalkan gaya aerodinamik asal Galaxy E5 dengan lampu utama LED nipis, bampar bawah yang diukir kemas, gril hadapan tertutup dan ditawarkan dengan corak dot-matriks sebagai pilihan.

Di belakang, ia tampil dengan jalur lampu melintang penuh serta kemasan krom perak, di samping pilihan logo dan lencana Geely berwarna hitam untuk penampilan lebih moden.
Tiada perubahan pada saiz fizikal, dengan dimensi kekal pada 4,615mm panjang, 1,901mm lebar, dan 1,670mm tinggi, serta jarak antara roda 2,750mm.
Antara ciri lain yang masih dikekalkan termasuk kemasan tingkap hitam, bumbung suria panoramik dan rim bersaiz 18 atau 19-inci.

Kuasa pemanduan masih dibekalkan oleh motor elektrik 160kW yang dipasang di hadapan – sama seperti model semasa.
Namun, perbezaan utama terletak pada kapasiti bateri. Varian terbaharu ini dilengkapi dengan pek bateri 68.39kWh, menjadikannya varian dengan jarak paling jauh dalam barisan Galaxy E5 setakat ini.
Untuk perbandingan, varian sebelumnya hadir dengan bateri 49.52kWh (jarak 440 km) dan 60.22kWh (jarak 530 km). Walaupun kaedah ujian untuk angka 610km belum diumumkan secara terperinci, ia tetap merupakan peningkatan ketara.

Seperti model sedia ada, varian ini menyokong pengecasan pantas dan biasa, serta menawarkan fungsi kuasa luaran (vehicle-to-load, V2L) sehingga 3.3kW.
Galaxy E5 dibangunkan atas pelantar GEA milik Geely dan kini ditawarkan dalam lima versi dengan harga antara 107,800 hingga 143,800 yuan (lebih kurang RM70,000 hingga RM93,000).
Dengan rekaan yang tidak berubah dan peningkatan dari segi jarak pemanduan, varian jarak jauh Galaxy E5 ini menyasarkan pembeli yang mahukan kenderaan elektrik praktikal untuk kegunaan harian tanpa perlu membayar lebih untuk model premium.


