Buletin

GENTARI GO KINI DENGAN CIRI AUTOCHARGE, CAS EV JADI LEBIH MUDAH

Gentari memperkenalkan kemas kini terbaharu untuk aplikasi mudah alih Gentari Go dengan ciri AutoCharge yang kini boleh digunakan oleh semua pengguna aplikasi itu, selain penambahbaikan pada sistem ganjaran dan aspek keselamatan akaun.

Menerusi fungsi baharu tersebut, pengguna kenderaan elektrik (EV) hanya perlu melakukan tetapan sekali sahaja sebelum sistem membolehkan pengecasan dilakukan secara automatik di pengecas pantas arus terus (DC) terpilih milik Gentari di seluruh negara.

Ciri itu menghubungkan akaun pengguna dengan kenderaan yang didaftarkan, sekali gus membolehkan proses pengecasan bermula sebaik kabel disambungkan tanpa memerlukan aplikasi, kad RFID atau imbasan kod QR.

Pendekatan itu dijangka memudahkan pengalaman pengguna EV ketika menggunakan kemudahan pengecas awam, khususnya di lokasi yang menyokong fungsi AutoCharge serta model EV yang serasi.

Pengguna hanya perlu melalui tiga langkah mudah iaitu menyambungkan kabel pengecas ke kenderaan, sistem akan mengesahkan identiti kenderaan secara automatik, sebelum sesi pengecasan dimulakan tanpa perlu sebarang tindakan tambahan melalui aplikasi.

Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Fadzrul Ahmad berkata, ekosistem EV di Malaysia kini memasuki fasa baharu apabila pengalaman pengguna menjadi sama penting dengan pembangunan infrastruktur.

Menurutnya, AutoCharge membantu mengurangkan kebergantungan kepada pelbagai aplikasi serta proses manual ketika mengecas, sekali gus menjadikan pengalaman pengecasan lebih pantas dan mudah.

Bagi meraikan pelancaran fungsi itu, 500 pengguna pertama yang berjaya mendaftar dan melengkapkan sesi pengecasan AutoCharge pertama mereka akan menerima kredit Gentari Go bernilai RM10.

Pelaksanaan AutoCharge akan diperluaskan secara berperingkat di rangkaian Gentari di seluruh negara, termasuk laluan utama dan kawasan bandar.

Ketika ini, Gentari mengendalikan lebih 600 titik pengecas EV di Malaysia.

Melalui Gentari Go Roaming Hub pula, pengguna mempunyai akses kepada lebih 18,000 titik pengecasan di Malaysia, Singapura, Thailand dan India bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan.

Selain fungsi AutoCharge, Gentari turut mengemaskini sistem ganjarannya. Mata ganjaran yang diperoleh sebelum 30 Jun 2026 masih boleh digunakan sehingga 31 Disember 2026, manakala mata yang diperoleh bermula 1 Julai 2026 akan sah digunakan selama 180 hari dari tarikh diperoleh.

Dari aspek keselamatan, pengguna kini perlu mengesahkan nombor telefon bimbit bagi mengakses kredit Gentari Go, sekali gus membantu meningkatkan perlindungan terhadap kredit dan ganjaran pengguna selain memastikan ketelusan berkaitan baki serta tempoh luput kredit.

Versi terkini aplikasi Gentari Go mula tersedia bermula 1 Julai 2026 dan pengguna boleh mengemaskini aplikasi mereka serta mengaktifkan AutoCharge dalam hanya beberapa minit.

Google ads
Back to top button