Buletin

BYD MALAYSIA TEROKA PEMBANGUNAN FLASH CHARGING BERSAMA GENTARI

BYD Malaysia merancang memperluas kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) berkuasa tinggi menerusi kerjasama dengan Gentari, syarikat penyelesaian tenaga bersih milik penuh PETRONAS.

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di ibu pejabat global BYD di Shenzhen, China, bagi meneroka pembangunan infrastruktur BYD Flash Charging di Malaysia.

Inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan kemudahan pengecasan EV, sekali gus menjadikan penggunaan kenderaan elektrik lebih praktikal untuk perjalanan harian dan jarak jauh.

Teknologi BYD Flash Charging dibangunkan untuk memaksimumkan kelajuan pengecasan kenderaan yang menggunakan Bateri Blade Generasi Kedua.

Antara model yang menyokong sistem itu ialah DENZA Z9GT, yang baru diperkenalkan di Malaysia.

DENZA Z9GT dilengkapi bateri berkapasiti 122.49 kWj dan sistem elektrik bervoltan tinggi 1,000 volt. Menurut BYD, model berkenaan mampu mengecas bateri daripada 10 hingga 70 peratus dalam masa lima minit, manakala pengecasan daripada 10 hingga 97 peratus mengambil masa sembilan minit.

Keupayaan itu berpotensi mengurangkan masa menunggu ketika mengecas EV, menghampiri tempoh yang diperlukan untuk mengisi minyak kenderaan konvensional.

Bagaimanapun, prestasi tersebut bergantung pada keserasian kenderaan dan kemudahan pengecasan yang digunakan.

Model BYD sedia ada turut boleh menggunakan infrastruktur berkenaan, namun kelajuan pengecasan maksimum bergantung pada spesifikasi setiap kenderaan.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, syarikat itu komited membawa teknologi pengecasan generasi baharu ke negara ini dalam usaha memperkukuh ekosistem mobiliti elektrik tempatan.

Beliau berkata, kerjasama dengan rakan industri tempatan juga membuka peluang memperluas akses kepada pengecasan berkuasa tinggi, selain meningkatkan kemahiran tenaga kerja melalui latihan teknikal untuk menyokong perkembangan industri EV.

Pada peringkat awal, BYD Malaysia merancang memberi tumpuan kepada beberapa bilik pameran premium DENZA terpilih bagi menyediakan akses kepada pemilik kenderaan yang serasi dengan teknologi itu.

BYD dan Gentari seterusnya akan meneliti lokasi strategik serta keperluan infrastruktur sokongan, termasuk kemungkinan pemasangan kemudahan pengecasan di stesen PETRONAS dan laluan utama yang menghubungkan bandar-bandar besar.

Kedua-dua pihak turut akan meneroka potensi menyediakan BYD Flash Charging di kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih di lebuh raya apabila rangkaian itu diperluas.

Langkah tersebut dijangka memberi lebih banyak pilihan pengecasan kepada pengguna EV, khususnya bagi perjalanan antara negeri, selain menyokong usaha memperluas infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik di Malaysia.

Google ads
Back to top button