Buletin

XIAOMI DIKESAN UJI COUPE ELEKTRIK BERKUASA 2,054HP – SEDIA CABAR PORSCHE

Xiaomi dilapor sedang membangunkan sebuah coupe elektrik berprestasi tinggi yang berpotensi menjadi pencabar baharu kepada jenama prestasi Eropah seperti Porsche.

Selepas kejayaan sedan elektrik SU7 dan SUV YU7 di pasaran China, syarikat teknologi itu kini dikatakan mahu melangkah lebih jauh ke dalam segmen kereta prestasi ekstrem.

Sebuah prototaip misteri Xiaomi baru-baru ini dikesan sedang diuji di lebuh raya di China dengan balutan penyamaran penuh.

Walaupun identiti model tersebut masih belum didedahkan secara rasmi, beberapa elemen reka bentuknya jelas mempunyai kaitan dengan SU7, termasuk lampu belakang LED melintang dan rekaan badan yang aerodinamik.

Apa yang paling mencuri perhatian ialah sayap belakang bersaiz besar yang dipasang pada model berkenaan. Saiznya dikatakan setanding, malah mungkin lebih besar daripada sayap pada Porsche 911 GT3 RS.

Bahagian belakang turut menampilkan diffuser agresif ala jentera perlumbaan bagi membantu meningkatkan daya turun dan kestabilan ketika dipandu pada kelajuan tinggi.

Dari sudut rekaan, coupe itu masih mengekalkan garis badan lembut dan mengalir seperti SU7, namun dengan profil yang lebih lebar dan rendah.

Bahagian panel belakang kelihatan lebih berotot, manakala terdapat liang udara besar di belakang roda hadapan yang memberi gambaran model ini dibangunkan dengan fokus terhadap prestasi aerodinamik.

Beberapa komponen lain seperti cermin sisi, rekaan rim dan sistem brek pula dipercayai dikongsi dengan SU7, sekali gus menunjukkan Xiaomi mungkin menggunakan sebahagian platform sedia ada untuk mempercepat pembangunan model baharu tersebut.

Setakat ini, spesifikasi rasmi masih belum diumumkan. Namun, timbul spekulasi bahawa coupe ini bakal menjadi model prestasi tertinggi Xiaomi dengan penggunaan platform empat motor elektrik yang pernah diperkenalkan syarikat itu sebelum ini.

Platform berkenaan dikatakan mampu menghasilkan sehingga 2,054hp selain dilengkapi sistem suspensi aktif canggih. Menariknya, teknologi tersebut masih belum digunakan pada mana-mana model produksi Xiaomi setakat ini.

Jika khabar angin itu benar, coupe dua pintu ini berpotensi menjadi supercar elektrik pertama Xiaomi dan mampu meletakkan syarikat teknologi China itu sebagai pesaing serius dalam dunia automotif prestasi tinggi.

Google ads
Back to top button