Buletin

NAZA, GENTARI JALIN KERJASAMA PERLUASKAN INFRASTRUKTUR PENGECASAN EV

Naza Automotive Holdings Sdn Bhd (Naza Auto) kini menjalin kerjasama dengan syarikat penyedia penyelesaian tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd (Gentari) bagi menyediakan akses kepada rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara.

Kerjasama ini menekankan komitmen Naza Auto untuk membantu pembangunan mobiliti elektrik di Malaysia bagi menjamin akses yang mudah kepada  bakal pelanggan EV dan pengguna EV.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin, kerjasama ini menunjukkan komitmen mereka terhadap kelestarian dan langkah untuk mempercepatkan perjalanan EV Malaysia.

“Kolaborasi kami dengan Kumpulan Naza bukan sahaja pemasangan titik pengecasan EV tetapi termasuk memperluaskan infrastruktur pengecasan yang selamat dan boleh dipercayai di seluruh Malaysia,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli.

Tambahnya lagi, Gentari merancang untuk menyediakan infrastruktur pengecasan EV di hartanah Kumpulan Naza, membolehkan aksesibiliti yang luas bagi pengguna EV.

“Penyediaan pengecas EV dibuat secara berperingkat sejak tahun lalu ini bermula dengan pelancaran pengecas di Naza Tower, Platinum Park KLCC dan baru-baru ini di Naza Automall di Petaling Jaya.”

Selain di lokasi sedia ada, Naza turut merancang untuk memasukkan stesen pengecasan ke dalam pembangunan utama seperti Mont Kiara dan TTDI Sentralis di Seksyen 13, Shah Alam.

Pendekatan ini akan menyokong cita-cita kerajaan dalam Pelan Peralihan Tenaga Kebangsaan untuk menyediakan 10,000 pengecas EV awam menjelang tahun 2025.

Google ads
Back to top button