
PERGI PANTAI TIMUR NAIK EV. TIADA MASALAH, KAMI SUDAH BUKTIKAN
Jika ditanya kepada sesiapa sahaja kenapa mereka masih belum bersedia untuk membeli sebuah kenderaan elektrik (EV), saya jamin kita akan menerima jawapan yang hampir sama sahaja.
Pertama ialah harga EV yang masih belum mampu milik untuk kebanyakan orang. Memang benar, pasaran Malaysia kini semakin meriah dengan tawaran kereta EV. Bagi golongan T20, pilihan yang ada memang banyak, mereka boleh memilih daripada jenama-jenama seperti Volvo, Audi, BMW, Mercedes-Benz, Hyundai, Kia, Mazda, Renault, smart dan Tesla.
Lebih menarik lagi, setiap jenama itu menawarkan banyak pilihan model dan varian. Jadi, pilih sahaja mengikut apa yang anda mahukan dari segi kapasiti bateri dan ciri-ciri tambahan yang lain.
Namun, bagi mereka yang tidak mahu berbelanja terlalu mewah, tetapi masih ingin memiliki sebuah EV, pilihan terbaik yang ada sekarang pastinya BYD yang hadir dengan dua model iaitu Atto 3 dan Dolphin. Dolphin yang saiznya lebih kurang macam Honda Jazz atau Perodua Myvi itu boleh dimiliki pada harga bermula RM99,000 seunit, sekali caj boleh cecah sehingga 410km (WLTP), memang sangat menarik.

Alasan kedua yang diberikan ialah harga bahan api sama ada petrol atau diesel secara relatifnya di Malaysia masih sangat murah berbanding mana-mana negara lain di rantau ini. Semakan terkini mendapati harga petrol RON95 cuma RM2.05 seliter, manakala diesel bermula RM2.15 seliter.
Biarpun begitu, kita harus tahu harga ini tidak akan kekal selama-lamanya. Apatah lagi kerajaan kini sedang merangka pelan untuk melaksanakan subsidi bersasar yang pasti akan membuatkan harga bahan api lebih mahal pada masa depan.
Malah, kerajaan sudah mengumumkan subsidi diesel akan dihapuskan mulai tahun depan. Jadi, mereka yang boleh mendapatkan diesel pada harga subsidi hanya golongan peniaga.
Sebab ketiga dan mungkin menjadi alasan paling popular ialah infrastuktur pengecasan awam yang dilihat masih belum mencukupi. Sudahlah tidak berapa banyak, kalau tidak bernasib baik, kita pergi ke stesen pengecasan, rosak pula.

Faktor seterusnya yang menyumbang kenapa ramai orang keberatan untuk membeli EV ialah kebanyakan daripada kita tinggal di rumah bertingkat. Walaupun ada JMB kondominium yang mengambil inisiatif untuk memasang pengecas awam di bangunan masing-masing, tetapi jumlah itu masih terlalu kecil.
Alasan terakhir ialah kebimbangan terhadap jarak perjalanan atau range anxiety apabila memandu sesebuah EV. Memang betul, semua pengeluar ada menyatakan dengan jelas jarak yang mampu dicapai oleh setiap EV keluaran mereka, namun ia sangat bergantung kepada gaya pemanduan.
Bagi membuktikan bahawa range anxiety itu boleh diurus jika kena caranya, saya menyertai satu konvoi yang dianjurkan oleh ZEVA menuju ke Pantai Timur baru-baru ini. ZEVA (Persatuan Kenderaan Beremisi Sifar) ialah sebuah NGO yang berperanan antaranya meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap EV di Malaysia.
Program yang diberi nama ZEVA East Coast Media Roadtrip itu turut melibatkan beberapa entiti lain seperti TNB, Gentari, Hyundai, PEKEMA, EON, GO Auto dan Yinson Greentech.

Lebih menarik lagi, peserta berpeluang memandu pelbagai model EV berbeza dalam perjalanan yang mencecah lebih 800km itu. Saya memulakan perjalanan dengan model Kia EV6 GT-Line Long Range yang sememangnya menawarkan prestasi terbaik dan jarak perjalanan sejauh 506km dengan sekali caj.
Dengan kapasiti bateri 77.4kWh dan jarak sebegitu jauh, perjalanan menuju ke Rehat dan Rawat Gambang dan Kawasan Rehat dan Rawat, Paka Arah Utara tidak memerlukan kereta tersebut untuk dicaj. Kami berhenti di stesen minyak Petronas Gambang untuk mendengar penerangan tentang pengecas EV aliran terus (DC) yang disediakan oleh pihak Gentari.
Sebagai sebuah anak syarikat Petronas, Gentari sememangnya aktif dalam memasang stesen pengecasan EV di seluruh negara. Sehingga kini, Gentari sudah memasang hampir 300 pengecas dan mensasarkan untuk mempunyai 400 stesen menjelang akhir tahun ini.
Bagi memudahkan pengguna, pengecasan boleh ditempah melalui aplikasi Setel JomCharge dan chargEV. Ia boleh mengecas EV anda pada kelajuan sehingga 90kWh pada kadar RM2.20 seminit. Ya betul, caj itu memang mahal berbanding lokasi pengecasan lain.

Ia sebenarnya sengaja dibuat begitu supaya pengguna tidak mengecaj kereta terlalu lama dan berfungsi sebagai pengantara sahaja sebelum mereka sampai tiba di destinasi seterusnya. Jadi mereka tidak perlu mengecas penuh ketika berada di sini.
Ketibaan kami di Paka disambut dengan hujan lebat. Bagusnya, ia secara tidak langsung menjawab mitos EV tidak boleh dicaj ketika hujan kerana ia adalah 100 peratus selamat. Di Paka, kami diberi taklimat mengenai pengecas DC TNB Electron milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Kemudahan itu terdiri daripada satu unit pengecas DC 180kW dengan kapasiti 90kw setiap satu. Boleh ditempah menerusi aplikasi GO TO-U, anda boleh mengecas EV dengan pantas pada kadar sekitar RM2.05 hingga RM2.35 seminit.
Berbeza dengan Gentari, TNB Electron kini hanya ada di tiga lokasi iaitu Paka, R&R Lebuhraya PLUS Tapah arah Utara dan Ayer Keroh Arah Utara. Kami dimaklumkan bahawa enam lagi lokasi TNB Electron akan dibuka dalam masa terdekat.

Kami kemudian meneruskan perjalanan menuju ke Dungun untuk sesi fotografi dan merakam video sebelum memandu ke Indera Mahkota, Kuantan untuk melihat kemudahan pengecasan yang disediakan oleh Yinson Greentech.
Kali ini, saya memandu sebuah EV bajet iaitu Neta V yang dilengkapi bateri lithium nickel cobalt manganate berkapasiti 38.54kWh yang mampu menawarkan jarak sekitar 380km (NEDC). Berbeza dengan EV6, range anxiety lebih terasa kerana kami dibawa ‘bersiar-siar’ dahulu di lebuh raya sebelum tiba di Indera Mahkota.
Kemudahan yang terletak di dalam kompaun Starbucks itu terdiri daripada dua pengecas DC 60 kW pada kadar RM1.20/kWh. Ini merupakan antara pengecas DC paling murah yang boleh anda gunakan sambil berehat minum kopi atau membeli-belah di sebuah pasaraya berdekatan. Cara penggunaan juga sangat mudah dengan adanya aplikasi chargEV yang mesra pengguna.

Kami tiba di Hotel Hyatt Regency pada jam hampir 8.00 malam dan mujurlah tidak ada EV yang mengambil bahagian tersangkut kerana kehabisan bateri.
Keesokan harinya, saya memandu Hyundai IONIQ 5 Max untuk pulang ke Kuala Lumpur. Dengan kapasiti bateri 72.6kWh dan jarak sejauh 430km, saya selamat sampai di ibu pejabat TNB di Bangsar tanpa perlu berhenti untuk mengecajnya.
Bagi saya, ini merupakan satu pengalaman dan bukti terbaik bahawa kita sebenarnya boleh memandu sebuah EV pada jarak yang jauh. Cuma kita perlukan sedikit usaha untuk merancang perjalanan, mengetahui lokasi untuk mengecaj dan memandu pada kelajuan yang lebih berhemah.