
GWM WEY G9 DIPERKENALKAN – JARAK GERAK 1,000KM, ANGGARAN HARGA BAWAH RM300K
Great Wall Motors Malaysia (GWM Malaysia) memperkenalkan buat pertama kalinya Wey G9, sebuah MPV mewah yang dijangka memasuki pasaran tempatan menjelang penghujung 2025.
Sebelum ini dikenali sebagai Wey 80, kenderaan tersebut disasarkan hadir dengan harga di bawah RM300,000.
Menariknya, Malaysia bakal menjadi negara pertama di dunia yang memperkenalkan Wey G9 dengan stereng sebelah kanan, serta lokasi pertama di luar China yang menjalankan pemasangan tempatan (CKD).
Selepas pelancaran di sini, model berkenaan turut akan dieksport ke Thailand, Indonesia serta pasaran serantau lain.

Dari segi dimensi, dengan ukuran panjang 5,280mm, lebar 1,960mm, tinggi 1,900mm dan jarak roda 3,085mm, ia lebih besar sedikit daripada Toyota Alphard serta setara dengan pesaing dari China seperti Zeekr 009 dan Denza D9.
Bahagian luaran menampilkan gril besar dengan jalur menegak, lampu utama LED dan lampu belakang LED merentangi keseluruhan bahagian belakang. Akses pula dipermudah dengan pintu gelangsar kuasa di kedua-dua sisi serta pintu belakang elektrik. Model ini menggunakan rim 18-inci, dengan pilihan warna kelabu, hitam dan putih.
Berbeza dengan unit konsep yang dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show 2024, versi kali ini sudah menerima rekaan dalaman baharu yang dilancarkan di China awal tahun ini.
Walaupun kluster digital 12.3-inci dikekalkan, versi Malaysia hanya dilengkapi skrin infotainmen pusat bersaiz 15.6-inci, bukannya dua skrin seperti di China.

Konfigurasi tempat duduk adalah 2-2-3 dengan tujuh tempat duduk. Barisan kedua mendapat kerusi kapten dengan fungsi urut 10 titik, ventilasi, pelarasan kuasa serta mod “zero gravity” untuk posisi lebih selesa. Tempat duduk dibalut kulit Nappa hitam, dengan pilihan warna coklat juga ditawarkan.
Antara ciri tambahan termasuklah;
- Meja lipat di belakang kerusi hadapan
- Pencahayaan ambien, kemasan kayu
- Peti sejuk 12.5 liter (boleh diakses dari hadapan dan belakang)
- Skrin hiburan belakang yang dipadankan dengan kawalan pendingin hawa khusus.
Tempat duduk barisan ketiga pula diletakkan di atas rel kuasa dengan ruang yang dikatakan mampu menampung individu setinggi 1.8 meter.

Selain itu, terdapat port pengecasan USB-A/USB-C di kedua-dua sisi dan dua corong udara di bumbung.
Beralih pada kuasa, Wey G9 akan menjadi MPV mewah pertama di Malaysia dengan sistem hibrid plug-in (PHEV). Enjin petrol 1.5 liter empat silinder (150hp, 240Nm) digabungkan dengan dua motor elektrik – satu dalam transmisi hibrid empat kelajuan dan satu lagi di gandar belakang – menghasilkan kuasa keseluruhan 442hp dan 642Nm.
Hasilnya, MPV pacuan semua roda ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 5.7 saat, dengan kelajuan maksimum 200km/j.
Dari segi jarak perjalanan, GWM mendakwa Wey G9 boleh mencapai sehingga 1,000 km (NEDC) dengan tangki penuh, manakala jarak elektrik sepenuhnya sekitar 170 km (NEDC).

Bateri 44.2kWh menyokong pengecasan AC 6.6kW serta pengecasan pantas DC – mampu mengisi semula dari 30 hingga 80 peratus dalam masa 26 minit.
Bagi aspek keselamatan, model ini telah meraih penarafan 5 bintang NCAP, dengan penggunaan keluli kekuatan tinggi 2000 MPa pada tiang A dan B, serta struktur pelindung tambahan untuk barisan ketiga.
Turut dilengkapi ialah beg udara tirai besar, pelekat struktur di bahagian hadapan, serta rangka tambahan pada casis untuk menyerap impak.
Bateri pula dilindungi dengan empat lapisan di sisi dan enam lapisan di bawah, serta kalis air dan gegaran, selepas melalui ujian ketahanan ketat bagi menjamin keselamatan maksimum.
Tempahan untuk Wey G9 kini sudah dibuka dengan tanda harga dijangka di bawah RM300,000. GWM Malaysia menjanjikan pelancarannya bakal berlangsung tidak lama lagi.
Foto Kredit – Zigwheels
- BACA: YANGWANG U9 EXTREME KINI ADALAH MERUPAKAN KERETA HIPER TERPANTAS DI DUNIA DENGAN KELAJUAN 496.22 KM/J!
- BACA: MITSUBISHI ECLIPSE CROSS BEV DIPERKENAL DI EROPAH – JARAK GERAK 600KM, ANGGARAN HARGA RM241K
- BACA: MINYAK ENJIN BHPETROL TERIMA LESEN PENSIJILAN PRODUK TULEN SIRIM QAS INTERNATIONAL
- BACA: GAC EMKOO RAIH PENARAFAN 5-BINTANG ASEAN NCAP




