Buletin

MITSUBISHI ECLIPSE CROSS BEV DIPERKENAL DI EROPAH – JARAK GERAK 600KM, ANGGARAN HARGA RM241K

Mitsubishi Motors memperkenalkan model serba baharu Eclipse Cross versi kenderaan elektrik sepenuhnya (BEV) untuk pasaran Eropah.

SUV kompak ini dipasang di kilang Renault ElectriCity, Douai, Perancis dan berkongsi banyak persamaan dengan Renault Scénic E-Tech Electric, termasuk penggunaan bateri 87kWh yang mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 600 kilometer.

Dibina di atas pelantar CMF-EV, Eclipse Cross BEV direka khusus sebagai kenderaan elektrik. Model ini hadir dengan kuasa maksimum 160kW serta tork puncak 300Nm.

Ia juga menawarkan fungsi pemanduan satu pedal serta sistem brek regeneratif yang boleh dilaras dalam empat tahap melalui pedal pada stereng.

Mitsubishi turut mengesahkan bahawa varian jarak sederhana akan diperkenalkan pada tahun 2026. Walaupun perincian belum didedahkan, ia dijangka menggunakan bateri sekitar 60kWh, sejajar dengan spesifikasi Renault Scénic E-Tech Electric yang menjadi asasnya.

Seperti model lain yang dipasarkan di Eropah, Eclipse Cross BEV menggunakan pendekatan badge engineering – iaitu model Renault yang diubah suai dengan sentuhan reka bentuk Mitsubishi pada bahagian hadapan dan belakang.

Walaupun menggunakan platform moden “AmpR-Medium”, keupayaan pengecasannya tidak setinggi pesaing lain. Model ini hanya menyokong pengecasan pantas sehingga 150kW, dengan masa anggaran 37 minit untuk mengisi bateri dari 10 hingga 80 peratus.

Reka bentuk dalaman moden dan digital
Bahagian kabin menampilkan konfigurasi dua baris tempat duduk untuk lima orang penumpang, dengan penekanan pada keselesaan dan ruang.

Antara ciri menarik ialah kerusi jahitan berlian, bumbung panoramik elektro-kromik serta sistem pencahayaan ambien yang boleh dipilih sehingga 48 warna.

Sistem infotainmen berpusat pada skrin menegak 12.3-inci yang menyokong Google terbina dalam, selain Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Sistem audio Harman Kardon turut dipasang, disertai empat mod pemanduan yang boleh dipilih.

Eclipse Cross BEV juga menyokong kemas kini perisian secara talian (FOTA), membolehkan pemilik sentiasa menikmati fungsi terbaharu tanpa perlu ke pusat servis. Aplikasi mudah alih Mitsubishi Motors pula memberikan akses kawalan jarak jauh termasuk pengurusan pengecasan.

Dari segi harga, Mitsubishi masih belum membuat pengumuman rasmi. Namun, ia dijangka hampir sama dengan Renault Scénic E-Tech Electric 220 Long Range yang kini bermula sekitar €47,900 (lebih kurang RM241,000).

Google ads
Back to top button