
MINYAK ENJIN BHPETROL TERIMA LESEN PENSIJILAN PRODUK TULEN SIRIM QAS INTERNATIONAL
Minyak enjin keluaran Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) kini telah menerima pengiktirafan rasmi apabila produk tersebut dianugerahkan Lesen Pensijilan Produk Tulen SIRIM QAS International dengan nombor siri PG000056 dan PG000057.
Pengiktirafan ini menegaskan jaminan BHPetrol terhadap mutu, keselamatan dan prestasi produk mereka.
Setakat ini, pensijilan meliputi tiga kategori utama iaitu SynGard untuk kereta penumpang, Trans bagi kenderaan komersial dan diesel, serta Dash untuk motosikal.


Langkah tersebut juga selaras dengan arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menetapkan semua minyak enjin di pasaran perlu mempunyai label SIRIM sebelum tarikh akhir 7 Oktober 2025.
Bagi memudahkan pengguna mengenal pasti produk tulen, BHPetrol akan memperkenalkan pelekat kod QR rasmi SIRIM berwarna hijau muda pada botol minyak enjin yang baharu dikeluarkan. Sementara itu, stok sedia ada di pasaran akan ditampal dengan pelekat kod QR merah jambu muda, yang turut dibekalkan kepada pengedar dan rakan niaga.
Pelekat tersebut berfungsi sebagai bukti bahawa minyak enjin berkenaan telah mematuhi standard ketat yang ditetapkan oleh SIRIM QAS International.


BHPetrol juga memberi jaminan akan terus memantau dan menyokong proses pengedaran pelekat bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Menurut syarikat itu, maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pelekat SIRIM ini akan dikongsi secara berperingkat bersama rakan niaga, pengguna, serta pihak KPDN bagi memastikan ketelusan dan pematuhan penuh terhadap peraturan baharu.








