,
Buletin

HARI PERTAMA SST. JADI, HARGA KERETA NAIK ATAU TIDAK?

Sejak semalam, kami cuba menghubungi beberapa pengeluar kenderaan untuk mendapatkan status harga terkini yang akan diumumkan. Jika melihat pada senario GST yang diumumkan pada April 2015, kebanyakan pengeluar sudah bersedia dengan harga jualan baru dan mengemaskini di laman web masing-masing.

Namun ia sangat berbeza dengan SST. Ketika banyak spekulasi tentang perubahan (kenaikan) harga akan berlaku, pengeluar yang kami hubungi ternyata tidak dapat memberikan senarai terbaru mereka pada hari ini (1 September 2018).

“Notis yang diberikan kepada kami adalah sangat singkat. Kami perlukan lebih masa menetapkan pengiraan yang lebih rumit kerana SST hanya berada di peringkat pengilang atau tier 1, ” komen salah satu jenama yang kami hubungi.

Justeru, semalam, kami memeriksa secara rawak beberapa laman web kereta tempatan. Di bawah adalah cekupan skrin (screen shot) yang kami ambil pada pada hari ini (1 Sept 2018).

Pengeluar utama seperti Perodua dan Toyota masih memaparkan harga jualan yang sama.

Lihat pada harga yang dicatat pada hari ini. Ia tidak berubah berbanding apa yang kami lihat semalam.

Bagaimanapun, beberapa laman web pengeluar lain, berbeza ceritanya.

Honda dan Proton “menggantung” sementara, paparan harga jualan mereka. Kami rasa, ia sebagai langkah untuk memastikan mereka menyiarkan harga baru yang terkini kepada pengguna.

Lihat pada paparan di bawah. Sebelah kiri ialah, cakupan skrin laman web Proton yang kami ambil pada 31hb Ogos, dan di sebelah kanan ialah paparan yang dilihat pada hari ini (1 September).

Proton “mengosongkan” harga jualan mereka.

Langkah yang sama dibuat oleh Honda Malaysia. Lihat pada cakupan skrin di bawah. Honda Malaysia hari ini meletakkan status laman web mereka sebagai “dibawah penyelenggaraan” (under maintenance)

Walaupun begitu, Honda masih lagi memaparkan harga jualan lama bagi model-model lain. Cuma yang “hilang” ialah model SUV popular mereka iaitu HR-V.

Bagi mendapatkan kepastian, kami juga menghubungi beberapa kenalan yang merupakan pengedar sah jenama-jenama yang kami sebut di atas.

Ya. Mereka masih menunggu senarai harga jualan baru dari Ibu Pejabat masing-masing. Buat masa ini, mereka menggunakan harga jualan lama sebagai asas dan setakat yang diberitahu, pelanggan yang datang memahami situasi tersebut.

BACA: VW KEKAL GST 0% HINGGA 15 SEPT

Kebanyakan pelanggan yang datang sudah akur dengan situasi SST. Kebanyakan mereka sudah bersedia untuk sebarang perubahan harga yang akan berlaku.

Jadi. Sehingga kami mendapat maklumbalas segera dari pengeluar kenderaan, status harga kenderaan baru SST masih lagi belum jelas sebenarnya.

Apapun, kami akan mengemaskini sekiranya terdapat sebarang siaran akhbar yang dikemaskini oleh pengeluar.

Tags
Google ads
Back to top button