Artikel Pilihan

LIMOSIN HEBAT INI ASALNYA IALAH SEBUAH JET PERIBADI YANG SEBENAR

Kenapa limosin mewah ni nampak pelik? Nampak macam jet peribadi pun ada. Kenapa tidak? Ia sememangnya dihasilkan daripada sebuah jet sebenar oleh syarikat Limo-jet. Limosin jet ini adalah hasil cetusan idea gila Dan Harris dan Frank DeAngelo hampir 12 tahun lepas. Ia melibatkan proses yang amat banyak, dari pembelian badan jet sebenar dan pelbagai proses rumit untuk menukarkannya menjadi sebuah kereta yang boleh dipandu secara sah di atas jalan raya.

Badan jet yang dihasilkan daripada aluminium perlu diubahsuai dengan teliti kerana ia kini akan menghabiskan masa di jalan raya dan bukan lagi terbang tinggi di angkasa. Sejumlah pakar dipanggil untuk mengukuhkan casis dengan menambahkan kerangka yang diperlukan. Semuanya perlu dihasilkan sendiri kerana komponen diperlukan memang tidak ada yang dah siap di pasaran.

Syarikat berasaskan perlumbaan turut terlibat dalam menghasilkan komponen suspensi depan dan belakang. Malah bahagian penutup belakang yang dihasilkan daripada gentian kaca turut mengambil masa hampir sembilan bulan untuk dihasilkan.

Itu belum termasuk sistem pendawaian yang memang rumit untuk limosin jet sebesar ini tapi hasilnya memang mengkagumkan. Tengok sahaja gambar-gambar yang disertakan. Bukan itu sahaja, ruang-ruang enjin jet asal di kiri dan kanan badan turut dilengkapi dengan lampu-lampu LED dan sepasang pembesar suara bersaiz besar didalamnya. Ini dah jadi macam kelab dangdut bergerak.

Secara keseluruhan hampir 60 ke 100 orang pekerja terlibat dalam menghasilkan limo gergasi ini. Ia berjaya dipandu dengan jayanya minggu lepas di KnowledgeFest, Dallas. Kuasa limosin ini datangnya dari enjin standard GM Vortec V8 dan walaupun ia bukannya selaju sebuah supercar ataupun kapal terbang jet, ia sudah mencukupi untuk membuatkan banyak mata terpukau.

BACA: INILAH HELMET YANG KITA NANTIKAN SELAMA INI. DENGAN PENYAMAN UDARA?

Mau tak kerana limo jet ni bukan setakat besar dan panjang (42 kaki panjang beb), malah ia juga setinggi 11.6 kaki dari bawah ke atas. Jika tak boleh nak bayangkan berapa besar limo ini, fikirkan sahaja objek seberat 5,500 kilogram dan rim bersaiz 28 inci yang digunakannya.

Menurut jurucakap syarikat yang membinanya, tidak mustahil untuk mereka menghasilkan lagi unit seumpamanya dengan kemungkinan penggunaan enjin berbeza termasuklah berkuasa elektrik.

Kini ia bukannya hanya sebuah limosin tetapi dengan kelengkapan lampu-lampu, pembesar suara, skrin dan tempat duduk yang pelbagai ia bagaikan sebuah dewan untuk berparti. Bahagian pemandu cuma mempunyai tempat duduk tunggal dibahagian tengah kokpit dengan bentangan skrin untuk membantu pemanduan. Banyak titik buta limosin jet ni weh.

Kemasan warna merah limosin jet ini memang cukup bergaya menyaluti bahagian tambahan yang dihasilkan dengan gentian kaca. Ekor belakang yang tinggi dikekalkan dan memang bermasalah jika di bawa ke mana-mana tempat parking bertingkat. Tapi siapa yang nak sorok limosin hebat macam ni. Parking je kat tengah padang ataupun di hadapan lobi hotel.

Google ads
Back to top button