Advertisements
Buletin

PROTON UMUM i-HEV SEBAGAI NAMA RASMI TEKNOLOGI HIBRID BAHARU

PROTON secara rasmi menamakan teknologi hibrid generasi baharunya sebagai i-HEV, yang bakal diperkenalkan menerusi model akan datang dengan kod pembangunan AMA 02.

Sistem hibrid pintar itu menggabungkan enjin petrol 1.5 liter khusus, dua motor elektrik dan pengurusan tenaga automatik bagi menawarkan penggunaan bahan api lebih cekap serta prestasi pemanduan yang lancar.

Berbeza dengan kenderaan elektrik sepenuhnya, teknologi i-HEV tidak memerlukan pengecasan daripada sumber luaran. Pengguna hanya perlu mengisi petrol seperti biasa, manakala sistem akan menguruskan pengecasan bateri secara automatik ketika kenderaan bergerak.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa berkata, teknologi itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan pengguna tempatan yang mahukan penjimatan bahan api, prestasi responsif dan kemudahan penggunaan tanpa perlu bergantung kepada kemudahan pengecasan.

Jelasnya, sistem berkenaan mampu menyesuaikan penggunaan kuasa petrol dan elektrik mengikut keadaan pemanduan, termasuk ketika menghadapi kesesakan lalu lintas serta perjalanan jarak jauh.

Jantung utama sistem i-HEV ialah enjin aspirasi semula jadi 1.5 liter yang dibangunkan khusus untuk aplikasi hibrid atau Dedicated Hybrid Engine (DHE). Enjin itu menghasilkan kuasa 111PS dan tork 136Nm, dengan kecekapan terma maksimum 46.5 peratus.

Enjin berkenaan menggunakan kitaran pembakaran Atkinson bagi mengoptimumkan penggunaan bahan api, selain dilengkapi nisbah mampatan 14:1 serta sistem edaran semula gas ekzos (EGR) dengan penyejukan air.

Kecekapan turut dipertingkat menerusi penggunaan pam minyak sesaran boleh ubah dan pam air elektrik bagi mengurangkan kehilangan tenaga daripada komponen sokongan enjin.

Sistem ini dipadankan dengan transmisi khusus hibrid (DHT) yang menempatkan dua motor elektrik, masing-masing dikenali sebagai P1 dan P3.

Motor P1 berfungsi menghidupkan enjin serta menjana elektrik, manakala P3 bertindak sebagai motor pacuan utama dan menjana semula tenaga ketika membrek.

Motor pacuan elektrik itu mampu menghasilkan sehingga 163PS dan tork 220Nm, sekali gus memberikan tindak balas lebih pantas ketika memecut, mendaki atau memotong kenderaan lain.

Pengurusan keseluruhan sistem dikendalikan Modul Kawalan Kuasa (PCM) yang menentukan penggunaan tenaga berdasarkan kelajuan, permintaan kuasa dan tahap bateri.

Sebanyak empat mod operasi disediakan, iaitu EV, Siri, Selari dan Pacuan Terus. Sistem akan bertukar secara automatik antara mod berkenaan bagi memastikan penggunaan tenaga berada pada tahap optimum tanpa memerlukan campur tangan pemandu.

Bagi menyimpan tenaga, i-HEV menggunakan bateri berkapasiti 1.38kWh yang dibekalkan melalui penjanaan enjin dan sistem brek regeneratif. Tenaga kinetik ketika kenderaan memperlahankan kelajuan akan ditukar kepada tenaga elektrik untuk digunakan semula.

Penggunaan kuasa elektrik turut membantu mengurangkan operasi enjin, bunyi dan penggunaan petrol khususnya ketika berdepan keadaan trafik sesak yang kerap memerlukan kenderaan berhenti dan bergerak.

Selain memperkenalkan teknologi baharu, PROTON turut memperkukuh keupayaan pengeluaran tempatan menerusi pemasangan enjin DHE, transmisi DHT dan unit pacuan elektrik (EDU) di fasilitinya di Tanjong Malim.

Langkah itu dilihat sebagai usaha memperluas penglibatan industri automotif tempatan dalam pembangunan teknologi kenderaan elektrifikasi, selain membina kepakaran dalam aspek pemasangan, pengujian dan kawalan kualiti.

Google ads
Back to top button