
HONDA ELEMENT BAKAL KEMBALI, SUV ‘KOTAK’ IKONIK DIJANGKA MUNCUL SEMULA PADA 2029
Honda dikatakan sedang merancang kebangkitan semula salah satu model paling unik dalam sejarahnya apabila laporan terbaharu mendakwa Honda Element bakal kembali ke pasaran menerusi generasi kedua menjelang tahun 2029.
Menurut laporan Automotive News yang memetik sumber dalaman industri, pengeluaran model baharu itu dijangka bermula pada suku kedua 2029 sebelum dipasarkan sebagai model tahun 2030.
Langkah itu dilihat selari dengan trend semasa yang menyaksikan SUV berimej lasak dan berbentuk “kotak” kembali diminati pengguna global.
Kejayaan model Honda Passport versi terkini dipercayai memberi keyakinan kepada Honda untuk menghidupkan semula nama Element yang pernah mempunyai kelompok peminat tersendiri.
Difahamkan, Honda akan menjadikan Ohio, Amerika Syarikat sebagai hab pengeluaran global untuk Element generasi baharu tersebut. Model itu juga dikatakan bakal diposisikan di antara HR-V dan CR-V dalam barisan SUV Honda.
Honda dilaporkan menyasarkan pengeluaran hampir 100,000 unit setahun sekiranya projek itu diteruskan seperti dirancang.
Untuk rekod, Honda Element pertama kali diperkenalkan pada 2003 sebelum ditamatkan pengeluarannya pada 2011.
Walaupun jualannya tidak mencapai sasaran besar Honda ketika itu, model berkenaan akhirnya menjadi “cult classic” kerana reka bentuknya yang berbeza daripada SUV lain di pasaran.
Antara ciri paling diingati ialah reka bentuk tanpa tiang tengah bersama pintu belakang jenis bukaan songsang yang memberikan akses kabin lebih luas dan praktikal.
Element turut terkenal dengan lantai kabin getah mudah dicuci, pintu belakang dua bahagian, serta tempat duduk yang boleh dilipat rata sehingga membentuk ruang tidur ringkas untuk aktiviti luar dan pengembaraan.
Setakat ini, Honda masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai projek kebangkitan semula Element, namun laporan tersebut sudah cukup untuk menghidupkan semula keterujaan peminat model ikonik itu di seluruh dunia.
- BACA: GWM WEY G9 – MPV PHEV. HARGA MENYESAL KALAU BELI ALPHARD
- BACA: NPE 2 GUNA SISTEM TOL TANPA PALANG, DIJANGKA SIAP 2029
- BACA: HONDA AVANCIER (UR-V) BAKAL MASUK ASEAN, THAILAND JADI HAB PENGELUARAN
- BACA: PROTON e.MAS PERLUAS RANGKAIAN PENGECAS EV DI KEDIAMAN BERTINGKAT, TAWAR PENGECASAN SERENDAH RM0.63/KWH


