Buletin

HONDA LANCAR CIVIC E:HEV UNTUK PASARAN EROPAH, 181 HP, 315 NM!

Beberapa pasaran di dunia (termasuk Malaysia) telah pun menerima kehadiran Honda Civic generasi ke-11, kebanyakannya membawakan nadi 1.5 liter VTEC Turbo, diikuti nadi 2.0 liter aspirasi natural.

Untuk pasaran Eropah (yang kita ketahui peraturan emisinya amat ketat), Honda Civic tidak akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin yang disebutkan tadi, malah varian sedan juga tidak akan ditawarkan.

Sebaliknya, ia hanya boleh didapati dalam versi hatchback, dan yang kedua, eksklusif dengan trenkuasa hibrid e:HEV sahaja.

Ini kerana Civic Hatchback e:HEV itu akan bertindak sebagai model aras mula sementara menunggu kehadiran Civic Type R yang jauh lebih berkuasa itu.

Nadi hibrid yang dimaksudkan itu merupakan versi baharu dengan enjin 2.0 liter kitaran Atkinson yang dipadankan dengan dua motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 181 hp dan 315 Nm!

Penambahbaikan yang dibuat terhadap unit trenkuasa itu membolehkan Civic e:HEV mencapai angka kadar kecekapan haba yang tinggi untuk mana-mana kereta produksi.

Civic e:HEV ini juga turut menampilkan pek bateri lithium-ion 72 sel serba baharu, selain unit kawalan kuasa dan empat mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport dan Individual.

Dari segi penawaran, Civic Hatchback e:HEV ini tidak banyak beza dengan Civic versi petrol, seperti skrin infotainmen sembilan inci, skrin kluster digital 10.2 inci, sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara, serta tidak ketinggalan sistem keselamatan Honda SENSING.

Google ads
Back to top button