
IMEJ PERTAMA FERRARI PUROSANGUE DIDEDAHKAN – SUV PERTAMA PRANCING HORSE
Setelah beberapa tahun berita berkenaan SUV berjenama Ferrari, akhirnya kita dapat pun melihat rupa paras sebenar model SUV pertama yang akan memberikan saingan kepada Lamborghini Urus dan Aston Martin DBX.
Sekeping gambar teaser telah dimuatnaik menerusi akaun instagram Ferrari yang memperlihatkan muka depan SUV bernama Purosangue itu.
Meskipun dikuasai elemen kegelapan, namun beberapa butiran jelas kelihatan, seperti contoh rekaan lampu nyalaan siang DRL LED pada penghujung komponen gril yang nipis, bukaan liang udara pada bampar yang agresif, serta dimensi yang agak tinggi untuk sebuah Ferrari.
Sekali imbas, Purosangue turut membawakan elemen daripada model Ferrari sedia ada, seperti contoh rekaan depan daripada SF90 Stradale dan SP3 Daytona.
Manakala bahagian belakang pula – berdasarkan imej yang tertiris beberapa minggu lalu – memperlihatkan elemen lampu belakang daripada 296 GTB, diikuti dengan pemasangan cladding plastik pada arka roda, serta empat tip ekzos.
Terdapat ura-ura Ferrari akan menawarkan trenkuasa plug-in hybrid daripada model 296 GTB pada Purosangue, serta tidak ketinggalan opsyen enjin V8 dan V12, dan mungkin sekali versi elektrik sepenuh masa yang bakal muncul kelak.