Buletin

HONDA NSX PERNAH DIMILIKI ARYTON SENNA UNTUK DIJUAL, HAMPIR RM 3 JUTA!

Tahap tertinggi barang langka (rare) apabila dimiliki orang terkenal. Kepada peminat legenda Formula 1, Aryton Senna dan Honda NSX, ini peluang anda untuk memiliki kereta beliau.

Honda NSX berwarna merah diiklankan di dalam laman sesawang jual beli automotif Auto Trader pada harga 500,000 pound (RM2,959,578)!

Laman sesawang itu juga pernah memaparkan kereta milik Ratu Elizabeth II dan David Beckham.

Nama Aryton Senna masih disebut-sebut sehingga hari ini. 

Beliau mendominasi penghujung 80-an dan awal 90-an dan menjuarai 41 perlumbaan dan paling manis tiga kali menjulang piala F1 bersama McLaren. 

NSX dengan kotak gear manual yang ditawarkan dimiliki oleh Robert McFada dari East Sussex, United Kingdom (UK). Unit itu disimpan di kediaman Senna di Portugal.

McFada membeli NSX tersebut di Algarve, Portugal pada 2013 dan membawa pulang ke kediaman beliau di East Sussex. Unit warna merah itu diberi oleh Honda susulan kerjasama komersial dengan Senna.

Senna turut memiliki dua buah NSX warna hitam di Brazil manakala sebuah lagi dibeli untuk beliau oleh pengurusnya, Antonio Braga.

Bagi mengenang pemergian tragik Senna, NSX warna merah itu dibawa ke litar Imola dan dipandu oleh Giancarlo Minardi di hadapan para peminat beliau.

Untuk makluman, unit itu tidak lagi menggunakan nombor pendaftaran SX-25-59 kerana didaftarkan di UK.

Maklumat di dalam Auto Trader juga menunjukkan unit yang didaftarkan pada 1991 itu hanya mempunyai perbatuan 62,925 km.

Enjin 3.0 liter NSX menghasilkan 271 bhp dan tork 284Nm dengan pecutan dari 0 sehingga 97 kilometer sejam (km/j) hanya dalam 5.8 saat. Kelajuan tertinggi mencecah 265 km/j.

Dari 1991 sehingga 2005, Honda mengeluarkan beberapa varian dan dua sesaran enjin iaitu 3.0 liter V6 dan 3.2 liter V6 dengan kotak gear manual lima dan enam kelajuan selain automatik empat kelajuan.

Kereta ini bukan setakat untuk disimpan tetapi juga boleh dijadikan pelaburan. NSX sendiri susah nak ditemui apatah lagi unit milik Senna!

Google ads
Back to top button