
PEMANDU TAK CUKUP BAKI KAD TAMBAH NILAI MAKI HAMUN JURUTOL – “KALAU PANDAI, KAU TAK KERJA TOL LA”
Tular baru-baru ini di laman X apabila seorang pemandu meluahkan kemarahannya dengan memaki hamun jurutol kerana kekurangan baki dalam kad tambah nilai.
Kejadian yang berlaku di Tol Segambut, di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) itu berpunca baki nilai Touch ‘n Go (TnG) pemandu tersebut kurang dalam anggaran RM1.50.
Menerusi perkongsian video di laman X yang dimuat naik oleh abang kepada jurutol, kedengaran pemandu Honda Civic tersebut mengeluarkan kata-kata kurang sopan.
“Menyusahkan oranglah engkau ni. Sebab kau bodoh la kau kerja tol. Buka! Buka! Kalau pandai kau tak kerja tol la,” kata pemandu berkenaan.

Bagaimanapun jurutol berkenaan hanya membalas makian tersebut dengan nada suara yang tenang.
Menurutnya, pemandu tersebut kemudian memberikan wang tunai sebelum ditolak kerana pembayaran hanya diterima melalui kad debit atau Touch n’ Go sahaja.
Individu tersebut turut memuat naik klip audio adiknya yang menceritakan semula kejadian berkenaan.
“Tanya dia ada kad kredit tak, dia kata rosak. Minta dia try dulu, masuk lorong tiga. Dia tak sampai dekat lorong tiga tu lagi, dia berhenti lama dan beri double signal.
“Dia datang balik lorong satu, dia nak bagi cash. Dia kata kad bank rosak, kad pengenalan tak bawa. Aku okaylah, masa nak ambil cash tu, dia maki aku.
“Aku tak jawab. Dia cakap kau buat kerja apa, makan gaji buta. Dia cakap aku bodohlah… bila keluarkan telefon nak rakam, barulah dia slow sikit. Sebelum tu lama dah dia maki,” cerita jurutol berkenaan.
Hantaran tersebut turut mendapat perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan meminta jurutol terbabit segera tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan dilakukan.
Sementara itu, netizen turut meluahkan rasa geram dan mengecam pemandu berkenaan selain menggesa tindakan tegas diambil terhadapnya sebagai pengajaran. –MStar