
GWM ANJUR SESI PANDU UJI MODEL TERBARU, JEMPUT 200 WAKIL MEDIA GLOBAL
GWM pada hari ini telah menjemput wakil media antarabangsa seramai 200 orang ke GWM Proving Ground di Baoding China bagi menguji kenderaan baru keluaran mereka. Antara model yang terlibat termasuklah daripada jenama Haval, Ora, Poer, Wey dan juga Tank.
Antara ujian yang dibuat termasuklah ujian slalom, pecutan di jalan lurus, brek kecemasan, u-turn, pusingan huruf 8 dan juga melalui speed bump. Bagi kenderaan SUV daripada jenama Tank, Poer dan Wey, ujian tambahan adalah ujian melalui di atas permukaan penggelek bagi simulasi di atas permukaan licin, dan juga melalui bonggol buatan.
Semua ujian ini direka bagi membolehkan wakil media merasai sendiri pengalaman pemanduan kenderaan yang dihasilkan oleh GWM. Bagi pasaran Malaysia, GWM menjual kereta elektrik di bawah jenama Ora melalui model Ora Good Cat dan juga Ora 07.
GWM juga bakal memperkenalkan SUV berkuasa hibrid Haval H6 yang berupaya menjana 240 kuasa kuda dan 530Nm tork namun pada masa yang sama Haval H6 masih boleh memberikan bacaan purata petrol 18km/liter. Haval H6 juga turut ditawarkan untuk sesi pandu uji ringkas di litar GWM Proving Ground

Satu lagi prospek SUV yang turut diuji termasuklah Tank 300, sebuah SUV yang diasaskan dengan platform ladder frame dan dikuasakan dengan enjin 2000cc turbo petrol. Enjin ini menjana 217 kuasa kuda, dan 380Nm tork dengan gandingan transmisi 8 kelajuan yang dibekalkan oleh ZF Transmission. Ia turut ditawarkan dengan ciri pilihan pacuan 2 roda, 4 roda 4H dan 4L
Wakil media juga berpeluang untuk melihat sendiri fasiliti kilang GWM yang berhampiran yang digunakan khas untuk memasang model Haval. Fasiliti kilang ini meliputi kilang penghasilan cesi, kimpalan, cat, dan juga pemasangan akhir.
Selain daripada penggunaan tenaga manusia, kilang ini juga menggunakan sistem robotik bagi proses kimpalan. Keadaan ini membantu peningkatan produktiviti dan juga kualiti pemasangan kenderaan jenama Haval dengan keupayaan mengeluarkan sebuah kenderaan jenama Haval dalam setiap 52 saat.

