Buletin

HYUNDAI IONIQ 6 LAKU KERAS, TERIMA 37 RIBU TEMPAHAN DALAM 24 JAM

Minggu lalu, Hyundai mengumumkan penerimaan pra-tempahan sebanyak 37,446 unit untuk model sedan fastback Ioniq 6 di pasaran Korea Selatan untuk tempoh 24 jam pertama jualan.

Ia merupakan satu rekod yang menakjubkan memandangkan sebelum ini tempahan untuk model Hyundai Ioniq 5 adalah sebanyak 23,760 unit pada hari pertama jualan dibuka pada Februari 2021.

Ia juga merupakan satu petanda jelas tahap penerimaan yang tinggi di kalangan rakyat Korea untuk model Ioniq 6 yang dijual bermula dari 52 juta KRW (RM173 ribu).

Hyundai Ioniq 6 diperkenalkan secara rasmi di Busan Motor Show pada bulan Julai yang lalu.

Menggunakan asas daripada platform E-GMP, Ioniq 6 didatangkan dalam versi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang, atau versi motor elektrik berkembar dengan sistem pacuan semua roda.

Versi paling berkuasa mampu memecut sepantas 5.1 saat dari 0-100 km/j.

Terdapat dua pilihan pek bateri, iaitu 53.0 kWh atau 77.4 kWh dengan jarak gerak sejauh 610 km untuk sekali cas penuh (data WLTP). – InsideEVs

Google ads
Back to top button