Buletin

APA NASIB STESEN MINYAK DI SINGAPURA APABILA SEMUA ORANG MEMANDU EV?

Daripada sekitar 180 stesen minyak di Singapura, hanya 25 menawarkan perkhidmatan pengecasan kenderaan elektrik (EV). 21 stesen dikendalikan oleh Shell yang memperkenalkannya buat kali pertama pada tahun 2019. Manakala empat lagi milik Caltex.

Esso, syarikat yang memiliki satu pertiga daripada semua stesen minyak di Singapura masih belum membuat sebarang peralihan kepada EV, walaupun telah menjalankan percubaan di Thailand tiga tahun lalu. Syarikat Petroleum Singapura (SPC) pun sama dengan 40 stesen.

Memandangkan Singapura berhasrat untuk menghentikan penjualan kenderaan petrol dan diesel secara berperingkat menjelang tahun 2040, timbul persoalan apakah yang akan berlaku kepada stesen-seten minyak tersebut.

Peralihan ke arah pengecasan EV merupakan pilihan yang jelas, tetapi terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan. Rangkaian rangkaian pengecasan yang kukuh, seperti sekitar 2,000 pengecas BlueSG di 200 lokasi di Singapura mungkin sukar untuk ditandingi.

Seiring dengan perubahan ini, semua bangunan baharu dengan tempat letak kereta di Singapura kini perlu memasang poin pengecasan EV. Terdapat juga rancangan untuk memasang di hampir 2,000 tempat letak kereta HDB menjelang 2025.

“Kereta elektrik boleh dicas di mana-mana sahaja selagi ada power point,” kata Pengasas Firma Tenaga dan kereta elektrik Zecar, Danny Thai ketika mengulas tentang stesen minyak yang semakin hilang nilainya.

Beliau percaya bahawa pemandu akan sentiasa memilih kemudahan iaitu mengecas kereta EV mereka di rumah. Ini sudah dapat dilihat di negara seperti Australia, di mana kira-kira 80 peratus pemandu EV mengecas kereta mereka di rumah.

Walaupun orang ramai tidak mempunyai akses kepada pengecas di rumah, mereka tidak mahu membuang masa mereka di stesen minyak.

“Mereka mungkin lebih suka mengecas semasa menjalankan tugas berbanding menunggu di stesen minyak,” kata Thai.

Memandangkan ia biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk mengecas EV, lebih baik menggunakan masa untuk mengecas berhampiran pusat beli-belah atau kedai runcit. Di Singapura, pusat beli-belah seperti Great World City dan Tekka Place mempunyai pengecas pantas mereka sendiri. Stesen pengecasan itu dikendalikan oleh SP Group di hampir 30 lokasi.

Walaupun ia mungkin tidak lagi digunakan di dalam bandar, stesen minyak boleh menjadi titik pengecasan yang ideal untuk perjalanan lebih jauh.

Thai masih ragu-ragu mengenai utiliti stesen minyak menuju ke masa hadapan. “Banyak syarikat stesen minyak secara agresif menukar stesen mereka untuk mengecas EV. Sama ada ini akan menguntungkan pada masa hadapan, ia masih perlu dilihat.

“Memandangkan EV akan menjadi semakin popular, stesen minyak perlu melakukan sesuatu untuk memenuhi keperluan pelanggan mereka, agar kekal relevan dan berkembang maju,” kata Ketua Tenaga (Asia Pasifik) Oliver Wyman, Abhi Bhuchar.

Untuk stesen minyak terus hidup, banyak perkara yang perlu dilakukan daripada sekadar memasang titik pengecasan EV.

Stesen minyak dan kedai serbaneka telah lama berganding bahu. Untuk bersaing dalam era elektrik, stesen perlu mengembangkan idea ini dengan lebih jauh lagi. Mengambil kira faktor seperti lokasi dan pelanggan, mereka perlu menyusun tawaran yang melangkaui sekadar stesen pengecasan.

Contohnya ialah hab pengecasan EV Shell yang pertama di UK. Ia mempunyai sembilan stesen pengecasan ultra pantas, kedai kopi dan kedai serbaneka. Jadi, pemandu boleh menikmati WiFi percuma dan tempat duduk yang selesa di kedai kopi sementara menunggu kereta mereka dicas. – Vulcanpost

Google ads
Back to top button