Buletin

HYUNDAI RASMI PUSAT 4S BAHARU DI PULAU PINANG

Hyundai Motor Malaysia (HMY) terus memperkukuh rangkaian pengedarannya di negara ini menerusi pembukaan pusat 4S baharu Hyundai Juru yang dikendalikan oleh Goh Brothers Motor Sdn Bhd (GBM) di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Pembukaan pusat baharu itu menjadi sebahagian daripada pelan pengembangan rangkaian Hyundai yang menyasarkan sebanyak 25 cawangan di seluruh negara menjelang penghujung tahun 2026.

Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen berkata, Pulau Pinang merupakan antara pusat ekonomi dan inovasi terpenting di Malaysia, sekali gus menjadikannya lokasi strategik untuk jenama tersebut memperluaskan kehadiran di wilayah utara.

Menurut beliau, kerjasama dengan Goh Brothers Motor yang mempunyai pengalaman luas dalam industri automotif di utara Semenanjung akan membantu Hyundai menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan.

“Melalui kerjasama ini, kami mahu memastikan pelanggan menikmati akses yang lebih mudah kepada produk Hyundai serta perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti, selaras dengan komitmen kami untuk sentiasa berada di sisi pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Prinsipal Pengedar Goh Brothers Motor, Sunny Koay berkata, pembukaan bilik pameran berkenaan menandakan permulaan kerjasama strategik antara syarikatnya dan Hyundai.

Pusat Hyundai Juru dibangunkan dengan keluasan binaan 1,432 meter persegi dan menawarkan kemudahan 4S lengkap merangkumi jualan, servis, alat ganti serta perkhidmatan badan dan cat.

Ia turut dilengkapi lapan ruang servis bagi memenuhi keperluan pelanggan di kawasan utara.

Selain menawarkan rangkaian model utama Hyundai seperti SANTA FE, TUCSON dan STARIA, pusat ini juga menjadi pengedar eksklusif bagi model prestasi tinggi Hyundai N di wilayah utara.

Pelanggan berpeluang mendapatkan model Hyundai N termasuk IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N yang diperkenalkan kepada pasaran tempatan sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026.

Bersempena pembukaan rasmi itu, Hyundai Juru turut melancarkan kempen GBM Grand Opening Total Care yang berlangsung sehingga 31 Ogos 2026.

Antara manfaat yang ditawarkan termasuk pemeriksaan kesihatan kenderaan percuma merangkumi 26 komponen utama, diskaun sehingga 10 peratus bagi alat ganti tulen Hyundai serta potongan sehingga 20 peratus bagi caj buruh untuk bil servis melebihi RM500.

Google ads
Back to top button