
KESATUAN PEKERJA HYUNDAI MOTOR MOGOK TIGA HARI SELEPAS RUNDINGAN GAJI GAGAL
Kesatuan pekerja Hyundai Motor memulakan mogok selama tiga hari bermula hari ini selepas rundingan gaji yang berlarutan dengan pihak pengurusan gagal mencapai kata sepakat.
Pekerja di syarikat pembuat kenderaan terbesar Korea Selatan itu akan menghentikan kerja selama empat jam sehari sehingga Rabu bagi menuntut bonus yang lebih tinggi, kenaikan gaji serta lanjutan umur persaraan.
Tindakan itu dilakukan ketika kebimbangan terhadap jaminan pekerjaan semakin meningkat susulan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mengubah industri automotif.
Kesatuan dan pihak pengurusan telah mengadakan rundingan sejak Mei lalu, namun gagal mencapai persetujuan selepas pusingan rundingan kelima yang berlangsung pada 8 Julai turut menemui jalan buntu.
“Kami akan menghentikan operasi barisan pengeluaran selama empat jam sehari, dengan syif siang dan malam masing-masing dihentikan selama dua jam, bermula Isnin hingga Rabu,” kata seorang pegawai kesatuan kepada AFP.
Kesatuan itu turut memaklumkan pekerja dalam bahagian jualan, penyelenggaraan serta Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Namyang akan menyertai tindakan perusahaan itu mengikut keadaan masing-masing.
Menurut akhbar Maeil Business Newspaper, mogok berkenaan dijangka menyebabkan syarikat kerugian kira-kira 200 bilion won (RM620 juta).
Pemimpin kesatuan turut memulakan bantahan duduk semalaman pada hari ini.
Pihak pengurusan sebelum ini menawarkan kenaikan gaji asas sebanyak 89,000 won sebulan, bonus prestasi bersamaan 350 peratus gaji asas bulanan ditambah 10 juta won, serta pemberian 15 unit saham syarikat.
Bagaimanapun, tawaran itu ditolak oleh kesatuan yang menuntut kenaikan gaji asas sebanyak 149,600 won, bonus prestasi bersamaan 30 peratus keuntungan bersih tahun lalu, bonus 800 peratus, lanjutan umur persaraan serta pengambilan semula pekerja yang diberhentikan.
Dalam kenyataan kepada pekerja di kilang Ulsan, Naib Presiden Eksekutif Hyundai Motor, Choi Yeong-il, melahirkan rasa kesal terhadap tindakan mogok tersebut.
“Gangguan pengeluaran tidak sepatutnya berlaku ketika kami perlu memulihkan prestasi keuntungan menerusi pelancaran model baharu pada separuh kedua tahun ini,” katanya seperti dipetik agensi berita Yonhap.
Mogok itu berlaku ketika kebimbangan terhadap kemajuan teknologi robotik semakin meningkat.
Hyundai merancang menempatkan robot humanoid seperti Atlas di kilang-kilangnya di Amerika Syarikat bermula 2028.
Kesatuan pekerja berkata, mereka akan menentukan tindakan perusahaan seterusnya pada hari Rabu selepas mogok separa selama tiga hari itu berakhir. – Malaysia Gazette







