Buletin

HYUNDAI LABUR RM80 BILION PERCEPAT PERALIHAN KEPADA EV

Hyundai Motor Group bakal melabur sejumlah wang bernilai 24 trilion won (RM80 bilion) menjelang tahun 2030 bagi mempercepatkan peralihan syarikat itu kepada kenderaan elektrik.

Menurut laporan Automotive News, Hyundai telah membentangkan perancangan jangka panjang untuk menjadi salah satu daripada tiga pengeluar terbesar EV di dunia.

Untuk itu, mereka merancang untuk meningkatkan output tahunan EV di Korea kepada 1.51 juta unit menjelang akhir dekad ini, dan volum EV global kepada 3.64 juta unit dalam tempoh yang sama.

Jika perancangan ini menjadi, Hyundai mampu menguasai kira-kira 40 peratus pegangan di dalam segmen EV di seluruh dunia.

Sebagai perbandingan, Tesla telah menghasilkan 1.4 juta EV pada tahun 2022 dan angka tersebut mungkin meningkat kepada 2 juta unit pada tahun ini.

Sementara BYD telah menghasilkan lebih 900,000 unit kenderaan elektrik pada tahun lepas.

Menjelang 2030, Hyundai Motor Group menyasarkan untuk menawarkan sehingga 31 buah model EV.

Sebuah kilang baharu Kia akan dibuka di selatan Seoul untuk menghasilkan EV binaan khusus.

Sebelum ini, kumpulan automotif Korea itu mengumumkan perancangan untuk menawarkan 17 EV jenama Hyundai dan Genesis, serta 14 EV daripada Kia menjelang 2030, selain sasaran untuk menghasilkan 3.5 juta unit EV setahun menjelang tahun yang sama.

Google ads
Back to top button