
PERALIHAN EV JEJAS PEMBEKAL KOMPONEN TEMPATAN DI ASIA TENGGARA
Laporan South China Morning Post (SCMP) mendedahkan perkembangan pesat kenderaan elektrik (EV) di Asia Tenggara berisiko menjejaskan pengeluar komponen automotif tempatan apabila kebanyakan pengeluar dari China masih bergantung kepada komponen import dan rangkaian pembekal sedia ada.
Situasi itu memberi tekanan kepada syarikat kecil dan sederhana di Malaysia, Thailand serta Indonesia yang berdepan penurunan permintaan komponen kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), selain kesukaran menembusi rantaian bekalan EV.
Menurut laporan itu, antara cabaran utama ialah keperluan modal besar, penguasaan teknologi serta akses terhad kepada pengeluar kenderaan elektrik.
Pengarah Eksekutif Centre of Economic and Law Studies, Bhima Yudhistira Adhinegara berkata, pelaburan EV dari China masih belum memberi manfaat besar kepada kebanyakan pengeluar komponen tempatan di Indonesia.

Di Thailand, laporan Krungsri Research bagi tempoh 2026 hingga 2028 turut mendapati pembekal tempatan berdepan kesukaran memasuki rangkaian pengeluar EV China yang lebih mengutamakan komponen import dan pembekal sedia ada.
Dalam keadaan itu, kenderaan hibrid dilihat mampu menjadi penyelesaian sementara kerana masih menggunakan komponen enjin konvensional selain sistem elektrifikasi.
Kerajaan juga disaran menyediakan insentif peralihan, bantuan pembiayaan dan peluang kerjasama dengan pengeluar EV bagi memastikan syarikat tempatan tidak tersisih daripada perkembangan industri.
Di Malaysia, usaha menghubungkan pembekal tempatan dengan pengeluar China telah dilaksanakan menerusi inisiatif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Mei tahun lalu yang mempertemukan 23 pembekal komponen dan 12 syarikat teknologi dengan Chery.
Pertemuan itu menghasilkan empat perjanjian komersial melibatkan komponen, pemindahan teknologi dan pelaburan bersama.
Pengarang Motoring Malaysia, Aiman Abdullah berkata, program elektrifikasi pengeluar tempatan berpotensi meningkatkan kepakaran kejuruteraan dan pembuatan, namun pembekal memerlukan hala tuju jelas sebelum membuat pelaburan.
Katanya, syarikat lazimnya memerlukan enam hingga 18 bulan untuk menyediakan pengeluaran berskala penuh, manakala pulangan pelaburan boleh mengambil masa sehingga 10 tahun.
Beliau turut mencadangkan dana khusus bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana meningkatkan kapasiti serta menguasai teknologi EV.
Sementara itu, sektor penyelenggaraan dan pembaikan EV terpakai turut menawarkan peluang baharu kepada pemain industri tempatan.
Pengasas bersama Carsome merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Academy, Teoh Jiun Ee berkata, Malaysia mempunyai ekosistem pembaikan automotif konvensional yang kukuh, namun penyelenggaraan EV memerlukan kemahiran khusus termasuk pemeriksaan bateri, sistem voltan tinggi dan diagnosis kerosakan.
Menurutnya, juruteknik perlu menjalani latihan tambahan, manakala kos peningkatan kemahiran wajar dikongsi antara kerajaan, majikan dan pemain industri.
Beliau turut melihat pembangunan pasaran EV terpakai sebagai peluang untuk memperkukuh perkhidmatan pemeriksaan dan penilaian bateri, sekali gus meningkatkan keyakinan pembeli.
Peralihan kepada EV bukan sahaja menuntut perubahan teknologi kenderaan, malah memerlukan sokongan menyeluruh supaya pembekal komponen tempatan terus menjadi sebahagian daripada rantaian industri automotif masa depan. – South China Morning Post









