THAILAND NAIKKAN CUKAI EV IMPORT SEPENUHNYA KEPADA 35 PERATUS MULAI 2027
Thailand bakal menaikkan kadar cukai eksais bagi kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya dari 10 kepada 35 peratus bermula 1 Januari 2027, susulan keputusan Kabinet negara itu yang dilaporkan diluluskan pada Selasa.
Menteri Kewangan Thailand, Ekniti Nitithanprapas berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada penyusunan semula struktur cukai berperingkat yang bertujuan menggalakkan pelaburan serta memperkukuh aktiviti pembuatan kenderaan dalam negara.
Dasar baharu itu turut dilihat sebagai usaha melindungi kepentingan syarikat automotif yang sudah melabur dalam pembinaan kilang dan pembangunan rantaian bekalan tempatan.
Pada masa sama, pengeluar kenderaan yang masih bergantung kepada import kenderaan siap sepenuhnya atau CBU digesa mempercepatkan rundingan dengan kerajaan bagi membangunkan kemudahan pemasangan dan pengeluaran tempatan.
Thailand kini merupakan antara hab utama pengeluaran serta eksport automotif di rantau Asia Tenggara, dengan kehadiran pengeluar antarabangsa termasuk BYD dan Toyota.
Peningkatan cukai itu hadir ketika pasaran EV Thailand menunjukkan pertumbuhan ketara. Berdasarkan data Persekutuan Industri Thailand (FTI), sebanyak 22,587 unit kenderaan elektrik dan motosikal elektrik baharu didaftarkan pada September 2026, meningkat 89.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, pendaftaran kereta penumpang elektrik sahaja mencecah 19,425 unit, melonjak 98.6 peratus.
Bagi tempoh Januari hingga September 2026, jumlah keseluruhan pendaftaran EV mencapai 191,273 unit, meningkat 83 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.
Kereta penumpang elektrik menyumbang sebanyak 167,789 unit.
FTI turut mengunjurkan jumlah pendaftaran EV bagi keseluruhan 2026 mampu mencapai antara 200,000 hingga 220,000 unit, berbanding kira-kira 120,000 unit pada tahun lalu.
Dari segi kemudahan pengecasan, Thailand merekodkan sebanyak 5,021 lokasi pengecasan dengan keseluruhan 15,290 penyambung pengecas di seluruh negara sehingga akhir September lalu.
Kenaikan cukai tersebut memperlihatkan perubahan pendekatan Thailand dalam mengembangkan industri EV, dengan tumpuan yang semakin jelas terhadap pengeluaran tempatan dan pelaburan jangka panjang, bukan sekadar meningkatkan jumlah kenderaan import.









