Buletin

HYUNDAI MOTOR MALAYSIA RASMI BILIK PAMERAN BAHARU DI IPOH

Hyundai Motor Malaysia (HMY) terus memperkukuh rangkaian pengedarnya menerusi pembukaan bilik pameran Hyundai 1S baharu di Ipoh, Perak, hasil kerjasama dengan BHS Auto Hyundai Sdn. Bhd.

Presiden Hyundai Motor Malaysia, Eric Lee berkata, Ipoh kekal sebagai antara pasaran penting bagi syarikat dan pembukaan bilik pameran baharu itu menjadi sebahagian daripada strategi mengembangkan rangkaian jualan secara mampan di seluruh negara.

Menurutnya, pengalaman luas serta reputasi kukuh BHS Auto dalam industri automotif diyakini mampu memberikan perkhidmatan yang memenuhi standard Hyundai, sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap jenama tersebut.

Beliau turut menjelaskan bahawa pembukaan bilik pameran di Ipoh merupakan sebahagian daripada pelan HMY untuk memperluaskan rangkaian pengedarnya kepada 25 cawangan di seluruh Malaysia menjelang penghujung 2026.

Sementara itu, Pengarah BHS Auto Hyundai Sdn. Bhd., Datuk Lim Si Boon berkata, kerjasama bersama Hyundai menjadi satu langkah penting buat syarikat yang mempunyai pengalaman lebih enam dekad dalam sektor automotif.

Katanya, fokus utama syarikat sentiasa tertumpu kepada pembinaan hubungan jangka panjang dengan pelanggan menerusi perkhidmatan profesional, kepercayaan dan komitmen terhadap kualiti.

Beliau yakin pengguna di Ipoh serta seluruh Perak akan menerima manfaat daripada akses yang lebih mudah kepada rangkaian model Hyundai serta pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh.

BHS Auto Hyundai mempunyai sejarah panjang dalam industri automotif di Ipoh dan dikenali sebagai antara pengedar yang memiliki rekod cemerlang dalam aspek operasi serta khidmat pelanggan.

Kerjasama antara Hyundai Motor Malaysia dan BHS Auto dijangka terus berkembang dengan pembukaan lebih banyak pusat jualan pada masa akan datang, termasuk sebuah pusat 2S yang dirancang beroperasi dalam tahun 2026.

Kemudahan baharu itu dijangka memperkukuhkan lagi kehadiran Hyundai di Perak, selain menyediakan akses yang lebih baik kepada produk terkini, perkhidmatan selepas jualan serta sokongan pelanggan.

Bilik pameran Hyundai Ipoh yang dikendalikan BHS Auto Hyundai Sdn. Bhd. terletak di No. 45, Hala Pusat Perdagangan Canning 1, Pusat Perdagangan Canning II, 30350 Ipoh, Perak dan beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang.

Google ads
Back to top button