
DUNLOP SASAR PERTUMBUHAN JANGKA PANJANG DI MALAYSIA
Dunlop terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya dalam pasaran Malaysia menerusi peluasan rangkaian pengedar, penawaran produk yang lebih menyeluruh serta pelaburan berterusan bagi memenuhi keperluan pengguna.
Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, jenama tayar itu berjaya meningkatkan jumlah pengedarnya melebihi 30 peratus, daripada sekitar 150 premis kepada lebih 200 premis di seluruh negara sejak Mei 2026.
Perkembangan itu dilihat sebagai petunjuk keyakinan tinggi pengedar serta pemain industri automotif terhadap jenama berkenaan, sekali gus memperluaskan akses pengguna kepada produk dan perkhidmatan Dunlop.
Pencapaian tersebut menambah lagi sejarah panjang Dunlop di Malaysia yang bermula sejak 1963 apabila syarikat itu menjadi pengeluar tayar pertama membuka kemudahan pengeluaran tempatan.
Langkah itu memainkan peranan penting dalam pembangunan industri tayar negara dan menjadikan Dunlop antara jenama yang paling dikenali dalam kalangan pengguna tempatan.

Kini, operasi Dunlop diuruskan oleh Toyotsu Binter Malaysia Sdn. Bhd. dengan sokongan kepakaran teknikal Sumitomo Rubber Industries. Fokus utama syarikat adalah untuk menawarkan teknologi tayar premium yang lebih mudah dimiliki pengguna, di samping memperkukuh daya saing dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Permintaan terhadap tayar gantian di Malaysia terus meningkat selaras dengan pertumbuhan segmen kereta penumpang, SUV serta kenderaan elektrik (EV), sekali gus membuka peluang baharu kepada syarikat untuk mengembangkan perniagaan.
Pengarah Urusan Toyotsu Binter Malaysia Sdn. Bhd., Marcus Lim berkata, Malaysia kekal sebagai pasaran strategik yang mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan jangka panjang.
Menurutnya, pengguna kini semakin menitikberatkan keseimbangan antara kualiti, keselamatan, prestasi dan nilai, sekali gus membuka ruang kepada Dunlop untuk tampil sebagai jenama premium yang menawarkan prestasi tinggi pada harga lebih mampu milik.
Beliau berkata, strategi syarikat bukan sekadar menambah bilangan premis jualan, sebaliknya memastikan produk Dunlop mudah diperoleh melalui pelbagai saluran termasuk kedai tayar, pusat servis automotif dan platform peruncitan masa depan.

“Matlamat kami adalah membina hubungan jangka panjang bersama rakan niaga dalam ekosistem pasaran selepas jualan automotif di Malaysia,” katanya.
Bagi menyokong strategi itu, Dunlop memperluaskan penawaran produknya merangkumi beberapa segmen utama. Antaranya ialah Blue Response TG untuk kegunaan harian, SP Sport Maxx 060+ bagi pemandu yang mengutamakan prestasi serta Grandtrek R/T01 untuk SUV dan trak pikap.
Selain itu, syarikat turut merancang memperkenalkan e.Sport Maxx yang dibangunkan khas bagi memenuhi keperluan prestasi kenderaan elektrik.
Dalam sektor pembekalan kepada pengeluar peralatan asal (OEM), Dunlop terus menjadi pilihan beberapa jenama automotif utama seperti Toyota, Lexus, Isuzu, Mazda dan Leapmotor.
Kerjasama itu mencerminkan keyakinan pengeluar terhadap keupayaan teknologi, standard kualiti serta kebolehpercayaan produk Dunlop.
Toyotsu Binter Malaysia bersama Sumitomo Rubber Industries turut memberi penekanan kepada kestabilan rantaian bekalan, jaminan kualiti produk serta sokongan pelanggan bagi memastikan keperluan rakan OEM dapat dipenuhi secara konsisten.
Seiring perkembangan teknologi automotif, Dunlop menegaskan komitmennya untuk terus membangunkan tayar yang sesuai digunakan pada pelbagai jenis kenderaan termasuk model enjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid dan elektrik dengan penekanan terhadap aspek keselamatan, keselesaan serta ketahanan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sumitomo Rubber Asia (Tyre) Pte. Ltd., Takehiko Asai berkata, inovasi kekal menjadi tunjang utama jenama Dunlop sepanjang lebih 130 tahun penubuhannya.
Menurut beliau, syarikat kini bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan tayar konvensional, malah melabur dalam teknologi baharu yang mampu meningkatkan kecekapan tenaga, memperbaiki prestasi di permukaan jalan basah, mengurangkan rintangan gelungan dan bunyi kabin, selain meneroka pembangunan teknologi tayar pintar bagi menyokong era mobiliti berhubung dan elektrifikasi.
Beliau berkata, semua usaha itu mencerminkan komitmen Dunlop untuk terus menawarkan produk yang memenuhi keperluan pengguna moden tanpa mengorbankan aspek kualiti dan kebolehpercayaan.
Dengan Malaysia dikenal pasti sebagai antara pasaran utama, Dunlop dijangka terus memperluaskan rangkaian pengedar, memperkenalkan lebih banyak produk yang dibangunkan mengikut keadaan pemanduan tempatan serta mengukuhkan kerjasama bersama pemain industri automotif bagi memastikan pertumbuhan mampan dalam jangka panjang.
- BACA: HONDA CR-V BAHARU e:HEV vs Mazda CX-5, PROTON X70 & GWM HAVAL H6 HEV – SUV MANA PALING SESUAI UNTUK KELUARGA MALAYSIA?
- BACA: YAMAHA XMAX 300 BAKAL LANCAR DI KARNIVAL GENBLU YAMAHA?
- BACA: VOLVO BAKAL HIDUPKAN SEMULA SEDAN DAN WAGON MENJELANG 2028
- BACA: DAIHATSU TAFT FACELIFT 2026 DIPERKENALKAN DI JEPUN – LEBIH RANGGI, JANA 63HP, HARGA DARI RM35K







