
LALAPORT BBCC RASMI HAB PENGANGKUTAN BAHARU KL
Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Centre (BBCC) terus memperkukuh peranannya sebagai hab gaya hidup dan mobiliti bandar menerusi pelancaran rasmi LaLaport Transportation Hub (LTH), sebuah pusat pengangkutan yang menawarkan kemudahan perjalanan lebih selesa, selamat dan efisien.
Hab yang mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pengiktirafan dan lesen daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) itu bakal menjadi antara pusat utama perkhidmatan bas ekspres di tengah ibu kota, khususnya bagi laluan rentas sempadan Kuala Lumpur-Singapura.
Majlis pelancaran disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pembangunan APAD, Azrin Borhan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud dan Duta Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.

Hab berkenaan mula beroperasi secara berperingkat sejak Februari lalu sebagai pusat transit yang menghimpunkan pelbagai mod pengangkutan dalam satu lokasi, sekali gus memudahkan pergerakan penumpang tempatan dan antarabangsa.
Terletak di Aras LG1, East Atrium LaLaport BBCC, LTH menyediakan 11 ruang parkir bas, ruang menunggu berhawa dingin, kaunter jualan tiket, kiosk layan diri serta Sistem Paparan Maklumat Penumpang (PIDS) yang memaparkan jadual perjalanan bas secara masa nyata.
Selain itu, penumpang turut menikmati pelbagai kemudahan seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM), pengurup wang, loker simpanan bagasi, capaian Wi-Fi percuma, tandas, kemudahan mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU), selain sistem pemantauan keselamatan selama 24 jam.
Dari segi rangkaian pengangkutan, LTH dihubungkan secara terus dengan Stesen LRT dan Monorel Hang Tuah serta mempunyai akses mudah ke rangkaian MRT berhampiran, membolehkan penumpang bertukar antara perkhidmatan rel dan bas dengan lebih lancar.

LaLaport BBCC turut menyediakan perkhidmatan shuttle atas permintaan Boleh-Boleh Ride ke beberapa destinasi utama sekitar Kuala Lumpur, selain kawasan khas untuk perkhidmatan e-hailing di pintu masuk Pudu dan Hang Tuah.
Kira-kira 30 pengendali bas dijangka menggunakan LTH sebagai pusat transit utama di pusat bandar, khususnya bagi laluan Kuala Lumpur-Singapura.
Hab itu juga menyediakan perkhidmatan van ulang-alik ke KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 bagi memudahkan perjalanan ke lapangan terbang.
Pengarah Urusan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn. Bhd., Masayoshi Saito berkata, pembukaan LTH bukan sahaja meningkatkan pengalaman perjalanan pengguna, malah menyokong agenda kerajaan dalam memperkasakan mobiliti mampan dan pembangunan sektor pelancongan.

Menurutnya, lokasi hab yang berada di dalam kompleks membeli-belah membolehkan penumpang memanfaatkan pelbagai kemudahan sementara menunggu perjalanan, termasuk lebih 300 premis yang menawarkan pilihan makanan, peruncitan dan hiburan.
Beliau berkata, pembangunan LTH mengambil inspirasi daripada projek hab pengangkutan bersepadu Mitsui Fudosan di Jepun yang menggabungkan rangkaian pengangkutan awam, pusat beli-belah dan kemudahan gaya hidup dalam satu destinasi.
Hab itu dikendalikan oleh Asia Success Resources Sdn. Bhd. (ASR), syarikat yang berpengalaman menguruskan hab pengangkutan di KLIA Terminal 2, manakala konsep reka bentuk dan perancangan fungsinya dibangunkan bersama Semba Corporation bagi memastikan ruang transit yang praktikal dan mesra pengguna.
- BACA: HYUNDAI MOTOR MALAYSIA RASMI BILIK PAMERAN BAHARU DI IPOH
- BACA: DUNLOP SASAR PERTUMBUHAN JANGKA PANJANG DI MALAYSIA
- BACA: HONDA CR-V BAHARU e:HEV vs Mazda CX-5, PROTON X70 & GWM HAVAL H6 HEV – SUV MANA PALING SESUAI UNTUK KELUARGA MALAYSIA?
- BACA: YAMAHA XMAX 300 BAKAL LANCAR DI KARNIVAL GENBLU YAMAHA?


