
HYUNDAI RN22E – KONSEP IONIQ 6 DENGAN KUASA 576 HP/740 NM
Kalau dulu, jenama Hyundai boleh dilekehkan dengan mudah.
Namun Hyundai masa kini bukan satu jenama yang calang-calang boleh dikalahkan.
Terbaharu, Hyundai memperlihatkan dua buah model konsep ‘makmal bergerak’ yang menunjukkan masa depan divisyen berprestasi tinggi jenama Korea Selatan itu.

Salah satu daripadanya adalah Hyundai RN22e – atau lebih mudah lagi Ioniq 6 berprestasi tinggi, dengan kuasa yang memacu semua roda yang mampu mencapai 576 hp dan 740 Nm!
Menggunakan platform E-GMP dan senibina elektrik 400-/800-voltan, RN22e turut dipadankan dengan pek bateri berkapasiti 77.4 kWh bagi menyalurkan kuasa kepada motor elektrik – satu untuk setiap gandar.
Pemandu boleh memilih untuk menentukan kadar pengagihan tork antara kedua-dua gandar menerusi pemilihan mod pemanduan, dan kemudian mengecas bateri dari 10-80 peratus bawah tempoh 18 minit sahaja.

Untuk mengisi ruang lompong yang ditinggalkan oleh jentera ICE berprestasi tinggi, Hyundai N turut mendatangkan ciri unik N Sound+ pada RN22e yang akan menghasilkan bunyi daripada speaker luar dan dalam bagi menjadikan pemanduan yang lebih mengujakan.
Pengenalan konsep RM (Racing Midship) telah membuahkan beberapa ciri yang boleh digunakan pada kereta jalanan Hyundai N, dan dengan adanya RN22e Hyundai mampu menguji beberapa teknologi termaju sebelum ia dimuatkan pada model EV berprestasi tinggi jenama itu pada masa akan datang.















