Buletin

INDIVIDU TERBABIT KEMALANGAN TIADA LESEN MEMANDU MASIH LAYAK TUNTUT FAEDAH PERKESO

Individu yang tidak mempunyai lesen memandu dan terbabit dalam kemalangan masih layak menuntut faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

PERKESO ketika menjelaskan perkara itu berkata kenyataan dikeluarkan seorang pakar keselamatan jalan raya kononnya faedah sedemikian tidak diberikan kepada individu tanpa lesen adalah tidak tepat dan mengelirukan orang ramai.

Katanya, setiap pencarum PERKESO yang mengalami kemalangan ketika bekerja atau sebarang kecelakaan berkaitan atau berlaku berikutan pekerjaan layak memohon faedah Skim Bencana Pekerjaan.

“Ini selaras Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial 1971.

“Bagi setiap permohonan yang diterima, PERKESO akan menjalankan siasatan dan membuat pengesahan sebelum kelulusan diberi dan pembayaran dibuat.

“Antara dokumentasi mandatori yang perlu dikemukakan untuk tuntutan kemalangan di bawah Skim Bencana Pekerjaan ialah Borang 34, laporan polis, sijil cuti sakit dan peta lakar kemalangan.

“PERKESO tidak menetapkan keperluan lesen memandu sebagai satu syarat atau syarat tambahan untuk semua tuntutan faedah di bawah skim-skim PERKESO,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas dakwaan pakar terbabit yang disiarkan sebuah akhbar, PERKESO menjelaskan bahawa kesalahan tidak mempunyai lesen sewaktu memandu di jalan raya ialah perkara yang perlu diselesaikan di antara individu dengan pihak berkuasa berkaitan.

Sehubungan itu, PERKESO menggesa supaya akhbar berkenaan memperbetulkan kenyataan berkenaan dengan segera bagi mengelakkan kekeliruan umum yang berupaya menimbulkan tanggapan negatif terhadap skim perlindungan sosial dan bantuan kepada pencarum serta golongan sasar.

“Untuk maklumat lanjut berkenaan syarat-syarat kelayakan dan skim bantuan PERKESO, sila rujuk laman web www.perkeso.gov.my.

“Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi Pegawai Perkhidmatan Pelanggan PERKESO di talian 1-300-22-8000 atau e-mel [email protected],” katanya. – BH

Google ads
Back to top button