Buletin

LELAKI BERUSIA 18 TAHUN CUBA RASUAH JPJ UNTUK LULUS UJIAN KERETA

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki berusia 18 tahun apabila cuba memberi suapan bernilai RM50 kepada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Selasa.

Difahamkan, wang berkenaan ditawarkan bagi membolehkan dia lulus dalam ujian lesen memandu kereta (Kelas D) di sebuah akademi ujian memandu di Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, tawaran itu ditolak oleh anggota JPJ tersebut.

Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed berkata, laporan kejadian itu diterima dan lelaki terbabit ditahan pada jam 1 tengah hari.

“Dia kemudiannya dibebaskan selepas keterangannya diambil,” katanya.

Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

“Kita berharap lebih ramai pihak termasuk dalam kalangan penjawat awam dapat melaporkan kepada SPRM berkaitan rasuah biarpun nilainya rendah,” katanya. – Sinar Harian

Google ads
"
"
Back to top button