
PEMBAHARUAN LESEN MEMANDU, KENDERAAN MELALUI APLIKASI MYJPJ BERMULA FEBRUARI INI
Orang ramai kini boleh memperbaharui cukai jalan kenderaan dan lesen memandu hanya menerusi aplikasi MyJPJ mulai Februari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pertambahan fungsi baharu tersebut akan memudahkan orang awam untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu secara digital selain menjimatkan masa serta kos.
“Pelaksanaan urus niaga pembaharuan cukai jalan melalui aplikasi ini akan dilaksanakan secara berfasa yang mana pada peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara),” kata beliau.
Menurut beliau, untuk menggalakkan penggunaan e-LMM, individu yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) ketika pembaharuan bakal menikmati rebat sebanyak RM5, di mana rebat tersebut akan dinikmati sepanjang tahun 2024 iaitu bermula 1 Februari sehingga 31 Disember.

Selain itu, orang ramai juga boleh membuat perkongsian Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) atau cukai jalan digital menerusi aplikasi MyJPJ bermula hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, fungsi baharu itu membantu pemilik kenderaan berkongsi e-LKM dengan individu lain sama ada ahli keluarga dan rakan-rakan.
Menurut beliau, pemilik kenderaan hanya perlu menekan nombor plat kenderaan dan butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian tersebut.
“Fungsi ini mempunyai tempoh had masa perkongsian yang ditetapkan oleh pemilik dan kod pengaktifan perlu diberikan kepada penerimanya.
“Sistem itu akan menghapuskan rekod perkongsian jika tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Kata beliau, inisiatif itu bertujuan membantu pemandu yang memandu kenderaan individu lain untuk menunjukkan cukai jalan kepada pihak berkuasa. – UTUSAN
- BACA: CHINA KINI HAMPIR ATASI JEPUN SEBAGAI PENGEKSPORT KERETA TERBESAR DUNIA – SILA BERI LALUAN
- BACA: HONDA DAN ISUZU GIAT UJI TRAK BERKUASA HIDROGEN DI JEPUN – GANDINGAN MANTAP
- BACA: MODENAS SIAR KYMCO AK550 DI LAMAN WEB RASMI – LANCAR 12 JANUARI INI
- BACA: KERETA LOWERED? LEBIH BANYAK KEBURUKAN BERBANDING KEBAIKAN









