Artikel PilihanMotosikal

INDONESIA JUGA SUDAH MEMPUNYAI PASUKAN MOTOGP SENDIRI UNTUK MUSIM 2021

Dengan terbentuk pasukan Mandalika Racing Team Indonesia (MRTI), Indonesia kini secara rasminya sudah mempunyai pasukan MotoGP mereka sendiri. Ini diumumkan sendiri oleh prinsipal MRTI, Rapsel Ali beberapa hari lepas.

MRTI bakal bersaing dalam kelas Moto2 dengan Dimas Ekky Pratama sebagai pelumba utama mereka. Dimas bakal bertarung dalam musim penuh MotoGP bersama pelumba-pelumba antarabangsa lain dari pasukan-pasukan ternama dunia.

MRTI ini lahir hasil dari visi Presiden Joko Widodo yang mahu menjadikan Indonesia salah satu tuan rumah pusingan MotoGP musim 2021. Jadi, Mandalika yang terletak di Nusa Tenggara Barat telah dipilih sebagai litar rasmi MotoGP untuk Indonesia dan mereka juga berharap bangsa Indonesia akan lebih maju jaya dalam kancah perlumbaan bertaraf antarabangsa.

MotoGP Indonesia juga diharapkan dapat membangunkan lagi sektor pelancongan Indonesia khususnya di bahagian Nusa Tenggara Barat dengan kedatangan pelancong dan peminat MotoGP dari segenap ceruk rantau.

Mereka juga dalam proses mendapatkan seorang lagi pelumba untuk bergandingan dengan Dimas Ekky tetapi masih lagi dirahsiakan kerana pelumba tersebut masih terikat dengan kontrak sehingga berakhirnya musim 2020.

MRTI bakal menggunakan jentera yang menggunakan enjin Triumph 765cc sama seperti semua pasukan Moto2. Namun begitu walaupun menggunakan enjin yang sama, semua pasukan bebas untuk menggunakan casis yang berbeza contohnya seperti buatan Kalex. MV Agusta, NTS dan Speed Up.

Langkah selanjutnya ialah perbincangan dengan Dorna Sports di Barcelona, Sepanyol berkaitan hal-hal teknikal penyertaan mereka dalam MotoGP dan perasmian nama pasukan sebagai salah satu pencabar baru dalam arena MotoGP.

Selamat maju jaya MRTI.

Kredit dapurpacu.id

Google ads
Back to top button