KIA LANCAR CARNIVAL HI LIMOUSINE DI KOREA. BUMBUNG LEBIH TINGGI, KABIN MEWAH, BERMULA RM225K
Ogos lalu, Kia memperkenalkan MPV Carnival ke pasaran Korea Selatan dan kini ia hadir pula dalam varian baharu dikenali sebagai Hi Limousine.
Didatangkan dalam konfigurasi tujuh dan sembilan tempat duduk, Kia Carnival Hi Limousine merupakan varian dengan bumbung tinggi. Sekali pandang, ia seperti dipasang dengan kotak pada bahagian bumbungnya. Tetapi ia bukan seperti yang anda jangkakan.
Tujuan utama bumbung itu ditinggikan adalah untuk meningkatkan ruang kepala menjadi 291mm lebih luas berbanding model standard. Carnival Hi Limousine juga menerima penambahbaikan pada bahagian luaran yang merangkumi pelindung bampar, pemijak sisi dan skid plate lebih rugged.
Perincian unik yang lain termasuklah lampu LED pada bumbung tambahan itu dan emblem Hi Limousine pada bahagian belakang.
Masuk ke ruang kabin, jentera itu menawarkan ambien seakan-akan sebuah lounge dengan kerusi captain untuk baris kedua bersama perehat kaki untuk varian tujuh tempat duduk. Tidak ketinggalan skrin monitor pintar bersaiz 21.5 inci untuk penumpang belakang.
Skrin tersebut dilengkapi signal untuk HD-DMB TV, port HDMI, USB, ciri mirroring dan perkongsian. Ciri-ciri standard lain ialah penulen udara yang memastikan tiada gas berbahaya dan partikel kecil berterbangan di dalam udara kabin.
Di samping tempat letak minuman yang boleh dipanas dan disejukkan, langsir tingkap, lampu ambien serta lampu membaca untuk penumpang di tempat duduk baris kedua dan ketiga.
Carnival Hi Limousine menggunakan khidmat enjin petrol Smartstream G3.5 GDI V6 berkuasa 294PS dan tork 355Nm.
Harga MPV itu pasaran Korea bermula AS$54,450 (RM225,000) untuk varian sembilan tempat duduk.
Kia dilapor merancang untuk menawarkan varian empat tempat duduk yang lebih mewah, serta model dikuasakan enjin diesel berkapasiti tujuh dan sembilan tempat duduk.
- BACA: DARI BILIK PAMERAN TERUS KE DINDING. PEMILIK BAHARU KIA CARNIVAL UJI BEG UDARA SECARA ‘LIVE’
- BACA: KIA CARNIVAL 2021. SERLAH REKAAN SUV, LEBIH MEWAH DAN MASKULIN
- BACA: KIA DEDAH CARNIVAL 2021 DI KOREA. 3 PILIHAN ENJIN, 11 TEMPAT DUDUK. INI BARU ON!
- BACA: KIA GRAND CARNIVAL FACELIFT 2020. TRANSMISI AUTO 8-KELAJUAN, RM179,888 SEUNIT