Buletin

HONDA DEDAH VIDEO TEASER CIVIC GEN KE-11. TIADA LAGI LAMPU SEPIT KETAM. MUNCUL 17 NOV 2020!

Sedar tak sedar, Honda Civic generasi ke-10 sebenarnya sudah lima tahun berada di pasaran. Memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2016, sudah tiba masanya untuk Civic digantikan dengan model baharu dalam masa terdekat.

Apatah lagi kitaran hayat sesebuah model utama keluaran Jepun biasanya sekitar lima tahun sahaja.

Menjadi antara model paling penting Honda, generasi baharu Civic sentiasa dinanti oleh peminatnya di seluruh dunia. 

Sedia maklum bahawa Civic ketam berjaya mengembalikan kegemilangan Civic selepas sedikit sendu berikutan Civic generasi kesembilan gagal menarik perhatian ramai.

Jadi, pasukan jurutera dan reka bentuk Honda pasti pecah kepala untuk menghasilkan sebuah Civic yang mampu menyamai atau melangkaui populariti Civic ketam ini. 

Semua itu bakal terjawab tidak lama lagi kerana Honda sudahpun mengeluarkan teaser prototaip Civic serba baharu. Lebih menarik lagi, pengenalannya akan dibuat pada 17 November depan.

Dalam teaser berdurasi 15 saat itu, Civic akan hadir dalam bentuk sedan, biarpun Honda ada mengesahkan bahawa ia turut menawarkan Civic hatchback untuk pasaran-pasaran tertentu. 

Seperti yang boleh dilihat, Honda tidak lagi menggunakan reka bentuk sepit ketam untuk lampu belakang. Sebaliknya, ia digantikan dengan lampu LED nipis bersama rekaan lebih konvensional.

Untuk bahagian hadapan pula, gril Solid Wing Honda yang nipis digabungkan bersama sepasang lampu utama LED yang tajam. 

Nampaknya, Civic akan meneruskan rekaan seperti sebuah fastback seperti model sekarang, bukannya sebuah sedan tiga kotak biasa.  

Video itu langsung tidak menunjukkan mengenai rekaan dalaman Civic. Namun, pastinya perubahan besar akan diberikan. Maklumat mengenai enjin apa yang akan digunakan juga tidak dikongsi. 

Apa yang kita boleh buat sekarang ialah bersabar dan tunggu kemas kini di laman web ini pada 17 November nanti!

GALERI

Google ads
Back to top button