Buletin

INDUSTRI AUTOMOTIF NEGARA PADA 2H DIJANGKA PERLAHAN, P2 TERUS KEBAL

Industri automotif tempatan nampaknya bakal melalui separuh kedua tahun 2025 (2H25) dengan lebih perlahan. Punca utama? Tekanan margin berterusan, permintaan yang mula sederhana dan persaingan harga semakin sengit, kata beberapa penganalisis industri.

Walaupun begitu, pemain tempatan yang kukuh terutama Perodua dijangka terus menjadi tonggak kepada jumlah keseluruhan jualan dalam suasana ekonomi dan regulasi yang semakin mencabar.

Perodua kekal jadi penyelamat

Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) menaikkan sasaran jumlah industri (TIV) tahun ini daripada 750,000 unit kepada 770,000 unit. Ini banyak disokong oleh prestasi jualan Perodua yang masih mantap.

“Kami jangka TIV 2H25 akan terus stabil, terutamanya disokong oleh penghantaran unit Perodua yang sedang menyiapkan baki tempahan sedia ada sebanyak 100,000 unit serta kadar tempahan baharu yang masih sihat,” jelas laporan HLIB Research.

Menurut HLIB, kelebihan harga mampu milik dan kadar lokaliti yang tinggi menjadikan Perodua lebih kebal menghadapi cabaran industri. HLIB meramalkan jualan keseluruhan untuk pengeluar nasional sekitar 345,000 unit tahun ini, walaupun baki tempahan keseluruhan merosot ke sekitar 120,000–130,000 unit dengan kebanyakannya masih dimonopoli oleh Perodua.

Bagaimanapun, mereka mengingatkan margin keuntungan akan terus ditekan akibat persaingan yang semakin agresif.

Kenanga lebih optimis

Kenanga Research pula mengekalkan sasaran TIV lebih tinggi pada 805,000 unit untuk tahun ini. Keyakinan ini dipacu oleh minat pembelian awal berikutan penangguhan peraturan duti eksais baharu sehingga hujung tahun, selain peningkatan pendapatan isi rumah dan permintaan dalam segmen mampu milik.

“Kami jangka Perodua akan mendapat manfaat terbesar, dengan 44% pegangan pasaran TIV dan kadar lokaliti paling tinggi,” jelas Kenanga Research.

Segmen premium mula rasa tempias

Namun, cerita berbeza untuk segmen kereta premium. Kenanga memberi amaran bahawa rasionalisasi subsidi bahan api, kos utiliti yang meningkat dan keutamaan pengguna yang berubah mungkin membuatkan pembeli berpendapatan tinggi menangguhkan pembelian atau beralih kepada model hibrid dan EV.

EV masih jadi tumpuan, tapi…

Peralihan kepada EV masih diperhatikan rapat. BIMB Research melaporkan pendaftaran EV negara merosot 21% bulan ke bulan pada Jun kepada 3,272 unit — kebanyakannya disebabkan pasaran mula menyesuaikan diri selepas beberapa pelancaran besar.

“Tesla menunjukkan penurunan terbesar (turun 45% m-o-m kepada 587 unit), manakala BYD kekal sebagai penjual nombor satu dengan 1,045 unit,” menurut BIMB. Kadar penembusan EV kini hanya 4.3%, jauh daripada sasaran kerajaan 20% menjelang 2030.

BIMB turut menyebut isu kemampuan memiliki dan pembangunan infrastruktur yang perlahan sebagai faktor utama kelembapan ini. “Harga yang agresif dari OEM China terus menekan margin, ditambah kos pinjaman yang tinggi dan rangkaian pengecasan EV yang lambat dibangunkan,” jelasnya.

RHB lebih berhati-hati

RHB Research pula mengambil pendekatan lebih berhati-hati, mengekalkan sasaran TIV pada 730,000 unit. Mereka menyebut pesanan yang semakin berkurang dan permintaan pasca-pandemik yang makin reda sebagai sebab utama.

“Selepas tiga tahun mencatatkan rekod baharu, kami tidak nampak sebarang pemangkin besar untuk mengekalkan jualan pada tahap tinggi seperti sekarang,” kata RHB. Kadar kelulusan pinjaman yang jatuh kepada 55% tahun ini berbanding 58% hingga 63% pada 2022–2024, serta tekanan inflasi juga dijangka membuatkan pembeli tunggu dan lihat.

Perubahan regulasi bakal jadi penentu

Melihat ke hadapan, perubahan regulasi bakal mencorakkan dinamik industri. HLIB menyebut mekanisme baharu NCM (New Customised Incentive Mechanism) yang dijangka diumumkan pada suku keempat tahun ini bakal menggantikan Industrial Linkage Programme. Ia bakal memperkenalkan sistem insentif “menu-based” yang menggalakkan lokaliti, pembangunan EV dan R&D.

Sementara itu, pelaksanaan struktur duti eksais berasaskan nilai pasaran terbuka (OMV) yang telah ditangguh sebanyak empat kali kini dijangka dilaksanakan pada Januari 2026.

Namun, RHB percaya kenaikan harga antara 10% hingga 30% apabila struktur baharu ini dilaksanakan adalah “tidak mungkin berlaku,” walaupun tekanan terhadap rantaian bekalan semakin ketara dengan hanya lima bulan berbaki.

Kesimpulan

Keempat-empat rumah kajian kekal dengan penarafan “neutral” terhadap sektor automotif buat masa ini. Industri sedang melalui fasa penyesuaian tetapi dengan pemain seperti Perodua, strategi EV yang kian matang dan insentif kerajaan, tahun 2025 masih ada ruang untuk kejutan. – The Star Online

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button