
NISSAN X-TRAIL E-POWER E-4ORCE KINI DI INDONESIA, DARI RM205 RIBU!
Nissan X-Trail generasi ketiga atau Rogue dikeluarkan sejak 2021 dan penawarannya tidak menyeluruh dan sepantas sebelum ini.
Tidak perlu menunggu lebih lama, pengguna di Indonesia bakal menikmati X-Trail baharu selepas diperkenalkan secara rasmi di di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025.
Satu tempoh yang berbaloi kerana PT Nissan Motor Distributor Indonesia menawarkan X-Trail e-POWER dengan pacuan e-4ORCE.
Sejak kemunculan pertama pada tahun 2001, lebih 60,000 unit X-Trail berada di jalan raya Indonesia dan versi terbaru ini tampil lengkap dengan teknologi canggih.

Nadi kepada model ini semestinya teknologi e-POWER yang memberikan pengalaman pemanduan elektrik tanpa perlu pengecasan luaran.
Dipadankan bersama sistem pacuan semua roda e-4ORCE, X-Trail menawarkan pecutan serta-merta melalui pacuan dua motor elektrik yang menjana sehingga 338 ps. Pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam hanya perlu 7.2 saat.
Turut menarik pada X-Trail baharu ialah e-PEDAL 2.0, gugusan instrumen digital 12.3 inci, Paparan Pelbagai Maklumat (MID) 12.3 inci dan papar pandu (HUD) 10.8 inci.
Seperti biasa, X-Trail dilengkapi kerusi Anti-Graviti dan keselesaan penumpang ditawarkan melalui kawalan suhu Tri-Zone dan sistem audio premium BOSE 9 pembesar suara.

Dari segi keselamatan, teknologi Nissan Safety Shield merangkumi Brek Kecemasan Hadapan, Amaran Titik Buta dan Kawalan Jelajah Pintar.
Pra-tempahan Nissan X-Trail e-POWER dengan e-4ORCE sudah dibuka untuk pelanggan di Indonesia dengan harga IDR 795 juta (RM 205,437) (OTR Jakarta) sepanjang GIIAS untuk 500 pelanggan pertama.
Sebagai sebahagian daripada program pra-tempahan eksklusif, Nissan menawarkan:
- Penyelenggaraan percuma selama 4 tahun atau sehingga 50,000 km
- Waranti umum 3 tahun atau 100,000 km
- Waranti 5 tahun atau 100,000 km untuk bateri litium-ion dan komponen e-POWER
Kredit gambar: Nissan













